107 petugas kebersihan MBKT terima insentif RM300 - Utusan Malaysia

107 petugas kebersihan MBKT terima insentif RM300

WAN SUKAIRI Wan Abdullah (dua dari kiri) menyampaikan insentif kepada salah seorang petugas kebersihan MBKT sempena sambutan Aidilfitri kakitangan MBKT di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 107 petugas kebersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menerima insentif sebanyak RM300 setiap orang berikutan kecemerlangan mereka dalam menangani pengurusan sampah pada Aidilfitri, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insentif itu adalah sebagai penghargaan kepada mereka yang menjadi ‘hero tidak didendang’ agar umat Islam dapat menyambut Aidilfitri dengan selesa tanpa masalah sampah.

Menurutnya, jumlah sampah yang dikutip sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri secara purata adalah 450 tan metrik sehari berbanding bulan biasa iaitu 350 tan metrik sehari.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jumlah maksimum sampah yang direkodkan adalah 541 tan metrik iaitu pada 9 April 2024 (sehari sebelum hari raya Aidilfitri).

“Alhamdulillah hasil perancangan strategik MBKT, tiada sebarang aduan atau masalah berkaitan sampah berlaku sepanjang perayaan, malah kita menerima banyak pujian daripada orang awam kerana kawasan pengurusan MBKT sangat bersih dan ceria,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan insentif dan merasmikan sambutan Aidilfitri kakitangan MBKT, di sini, semalam.

Ketika ini, pengurusan sampah MBKT adalah meliputi lima daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta sebahagian Marang, Hulu Terengganu dan Setiu.

Sementara itu, Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif berkata, pihaknya sangat menghargai jasa semua pekerja pembersihan yang sanggup bekerja bersengkang mata dari malam raya hingga ke pagi Syawal.

“Kita telah menjangka pertambahan sampah dan menyediakan 10 pelan strategik yang diuruskan Jabatan Kesihatan Persekitaran MBKT.

“Antaranya dengan menggunakan tong roro di lokasi hot spot, penyusunan semula jadual kutipan sampah dan memaksimumkan penggunaan jentera serta peralatan sampah agar jadual kutipan tidak tergendala,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini