KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan kewujudan akaun media sosial yang melakukan serangan peribadi terhadap pemain bola sepak kebangsaan sehingga menimbulkan kebencian terhadap mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat laporan awal yang diterima pihaknya berkenaan hantaran media sosial yang menyasarkan pemain kebangsaan.
“Perkara itu sampai dalam laporan kita. Ia tentang kewujudan beberapa hantaran media sosial yang kemudiannya menyasarkan beberapa pemain bola kebangsaaan.
“Isi kandungan hantaran itu cuma bertujuan membangkitkan kebencian, menghina dan memperlekeh individu berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi perbincangan ‘Townhall’ bersama Menteri Dalam Negeri pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024, di sini semalam.
Ahad lalu pemain kebangsaan, Faisal Halim melecur di beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli belah di Damansara,
Selain itu, Saifuddin berkata, penyerang yang menyebarkan kebencian terhadap pemain kebangsaan juga dikatakan akan mengulas atau mengkritik setiap pergerakan mereka.
“Cara dia merayakan kemenangan atau jaringan gol juga diulas. Cara mereka bersosial dan berkawan dengan siapa, setiap inci pergerakan itu kemudiannya digunakan untuk menyebarkan kebencian melalui hantaran di media sosial
“Jadi saya menggesa perkara itu dihentikan kerana ia tidak baik. Kita akan lakukan apa sahaja untuk mengesan dan menangkap penyerang tersebut dan membawanya ke muka pengadilan,” katanya. – UTUSAN










