PPNP harap UPNP bertindak tegas tanpa kompromi isu ceroboh tanah - Utusan Malaysia

PPNP harap UPNP bertindak tegas tanpa kompromi isu ceroboh tanah

ZUHAIRI AB KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) meminta Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bertegas tanpa sebarang kompromi berhubung kegiatan pencerobohan tanah kerajaan di negeri ini.

Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, pihaknya mendapati, terdapat peneroka tanah hidup mewah menerusi hasil pertanian berskala besar di kawasan haram yang diteroka.

“Kita juga mengenal pasti terdapat kes-kes pencerobohan tanah terutama melibatkan penanaman kelapa sawit. Ini juga perlu diberi perhatian dan diselesaikan segera.

“Penceroboh dipercayai menggaji pekerja asing secara tidak sah di kawasan ceroboh tanpa membayar sebarang hasil kepada kerajaan negeri. Ia sekali gus menutup peluang pekerjaan penduduk tempatan.

“Tauke-tauke ladang haram ini hidup mewah dan tinggal di bandar-bandar besar, berbelanja di sana. Ini salah dan perlu diperangi sebagai satu jihad,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketika bertitah pada Mesyuarat Pertama Penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kali ke-15 semalam, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan harapan kepada UPNP supaya tidak gusar, takut dan terus proaktif memperkasakan tindakan penguatkuasaan di negeri ini.

Al-Sultan Abdullah dilaporkan bertitah, penguatkuasaan itu membabitkan aktiviti rondaan pencegahan, siasatan dan pengumpulan maklumat berkenaan pencerobohan terhadap tanah kerajaan.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, isu penerokaan tanah secara haram yang berleluasa ketika ini dan berlaku puluhan tahun lalu mengalirkan banyak wang keluar yang sepatutnya menjadi hasil negeri.

“Jika unit penguatkuasaan negeri pun tak dapat selesaikan masalah ini sendiri, saya berpandangan lebih baik kongsikan kuasa dengan lain agensi untuk banteras.

“Kita juga mendapat terdapat pihak tidak bertanggungjawab ‘menjual’ nama kenamaan untuk mengelirukan,” katanya.

Beliau berpandangan, semua tanah milik kerajaan yang diteroka secara haram untuk pertanian, perumahan mahupun sektor perindustrian perlu diambil kembali demi memacu kegemilangan negeri ini khususnya dari sudut pembangunan ekonomi.

Jelasnya, isu penerokaan tanah secara haram yang berleluasa telah mengalirkan banyak wang keluar yang sepatutnya menjadi hasil kerajaan negeri.

“Jadi PPNP menyambut baik titah Sultan Pahang supaya UPNP meningkat rondaan pencegahan, siasatan dan pengumpulan maklumat berkenaan pencerobohan terhadap tanah kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×