Kenaikan harga gula beri impak besar kepada F&N - MIDF - Utusan Malaysia

Kenaikan harga gula beri impak besar kepada F&N – MIDF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan harga gula memberi impak yang besar kepada industri Fraser & Neave (F&N) Malaysia berbanding kenaikan harga beras, gelatin dan serbuk koko.

MIDF Research berkata, ini kerana beras hanya untuk produk Sri Nona Ketupat, manakala, serbuk gelatin dan koko yang digunakan untuk produk Cocoaland yang menyumbang enam peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan F&N.

Oleh itu, pihak pengurusan tidak meramalkan sebarang kenaikan harga dalam jangka masa terdekat, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada pengoptimuman kos berbanding menaikkan harga.

“Walaupun harga kos input tertentu meningkat, normalisasi dalam kebanyakan bahan-bahan mentah, ditambah pula dengan pelbagai kenaikan harga pada tahun kewangan 2022 hingga 2023 telah mengimbangi kesan terbabit.

“Sebagai contoh, sudah terdapat kenaikan dalam harga ketupat dan ‘gummies’ pada tahun kewangan 2023,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dalam pada itu, MIDF Research positif terhadap prospek F&N terutamanya disokong oleh pengambilan minuman di luar rumah yang kukuh dan kembalinya pelancong ke Thailand dan Malaysia.

Selain itu, katanya, kos input bahan mentah tertentu juga telah mengalami normalisasi dan F&N juga menerima faedah daripada peralihan dalam keutamaan pengguna Malaysia ke arah jenama tempatan.

“Kami juga menghargai inisiatif kumpulan dalam ladang tenusu integrasi untuk meningkatkan bekalan sendiri (penjimatan kos) dan untuk memenuhi pasaran susu segar di Malaysia,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, sehubungan itu, mereka mengekalkan saranan ‘Beli’ saham F&N dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM37 sesaham.

“Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada ramalan pendapatan kami. Harga sasaran kami adalah berdasarkan PER tidak berubah sebanyak 22.6x yang dihubungkan kepada EPS jangkaan tahun kewangan 2024 (FY24F) yang tidak berubah sebanyak 163.6 sen,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×