HULU SELANGOR: Kejadian lemas membabitkan tiga beranak di Sungai Balak, Jalan Genting Lama Batang Kali di sini semalam didakwa disaksikan isteri mangsa yang juga ibu kepada dua anak malang itu.
Bagaimanapun, wanita itu tidak mampu berbuat apa-apa sebelum melihat kelibat suami Arif Fadzil Abdul Salleh, 43, bersama dua anak mereka iaitu Damia,9, dan Malik, 6, hilang dan dijumpai mati lemas.
Seorang anak saudara kepada tiga beranak itu yang ingin dikenali sebagai Amira,26, berkata, ketika kejadian, isteri mangsa tidak turun mandi kerana menjaga anak bongsu yang menyusu.
Bagaimanapun, dia dikatakan nampak suami dan anaknya hilang dibawa arus secara tiba-tiba ketika menjag anak bongsu di tebing sungai.
Katanya, keluarga tersebut menetap di Kuala Lipis, Pahang sering berulang-alik kerana mempunyai rumah singgah di Kampung Kuantan, Batang Kali di sini.
“Pak cik merupakan anak nombor tiga daripada sembilan adik beradik. Saya mengenali Allahyarham sebagai seorang yang periang dan ringan tulang bantu orang lain.
“Sebenarnya Allahyarham (Arif Fadzil) baru sahaja bertemu dengan nenek dan ibu saya pada Rabu lalu ketika menziarah orang sakit di Kuantan, Pahang.
“Allahyarham menetap di Kuala Lipis tapi sering berulang-alik ke sini kerana mempunyai sebuah rumah singgah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada pukul 1.09 petang.
Menurut beliau, sepasukan 12 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Baharu dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Shah Alam dan Pelabuhan Klang.
“Kejadian membabitkan bapa dan dua kanak-kanak lelaki dan perempuan yang lemas ketika mandi dalam sungai.
“Kesemua mangsa telah ditemukan pada 1.35 petang dan proses membawa naik mayat telah dilakukan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, kegembiraan tiga beranak mandi- mandi pada hari cuti hujung minggu di Sungai Balak, Jalan Genting Lama- Batang Kali di sini pada bertukar tragedi apabila mereka ditemukan meninggal dunia dipercayai lemas.
Difahamkan tiga beranak itu datang ke sungai terbabit dari Kampung Kuantan, Batang Kali di sini bersama keluarga untuk beriadah. – UTUSAN










