ALOR GAJAH: Tradisi rumah terbuka Aidilfitri sambil menangkap ikan beramai-ramai menggunakan tangan atau dikenali sebagai ‘ngoca’ di Kampung Kuala Sungga, Tebong di sini bakal dianjurkan berskala besar tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata, walaupun Kuala Sungga tidak mempunyai sawah padi, namun dengan adanya tali air dan kolam maka acara ngoca mampu mencuri perhatian penduduk setempat.
Ujar Hee Sem yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, acara yang diadakan pertama kali tahun lalu itu kini menjadi acara tahunan di kampung berkenaan.
“Untuk program tahun depan akan dimeriahkan dengan penglibatan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.
“Saya harap tahun depan lebih banyak aktiviti ngoca dapat diadakan dengan berskala besar bukan sahaja melibatkan penduduk di Kuala Sungga tetapi juga di Tebong.
“Program ini cukup jelas mengeratkan hubungan semua lapisan masyarakat yang turut mengambil bahagian menangkap ikan dengan tangan dan acara terbaharu jambatan goyang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Jom Ngoca Raya Kuala Sungga, hari ini.
Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Kira-kira 300 penduduk menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan seperti ngoca ikan terpantas, ngoca ikan terberat, ngoca ikan misteri, jambatan goyang dan cabutan bertuah. – UTUSAN










