SUKMA 2024: Pengguguran acara tutup potensi atlet

SUKMA 2024: Pengguguran acara tutup potensi atlet

Johor berjaya mengungguli SUKMA edisi lalu selepas menggondol 77 emas dengan mengutip 177 pingat secara keseluruhan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kita menutup peluang atlet yang berpotensi dalam sesuatu bidang sukan itu jika banyak acara digugurkan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.”

Itu pandangan penganalisis sukan, Datuk Pekan Ramli berkenaan SUKMA Sarawak 2024 yang berdepan dengan pengguguran acara sukan berikutan bilangan atlet kurang.

Katanya, SUKMA merupakan platform penting buat atlet sebelum mewakili negara di persada antarabangsa sekali gus menutup ‘periuk’ mereka untuk mempamerkan bakat masing-masing.

Jelas beliau, persatuan sukan atau Majlis Sukan Negeri (MSN) perlu memastikan bilangan atlet yang ada bagi mewakili acara sukan untuk tidak merugikan penganjuran dwitahunan terbabit.

“SUKMA ini penting dari segi atlet muda dalam mempersembahkan bakat mereka dalam sukan. Jika kita tidak anjur sukan itu, kemanakah bakat mereka hendak disalur?

“Setiap kali SUKMA dianjurkan mesti banyak acara digugurkan kerana tidak kurang penyertaan dari atlet. Saya lihat MSN tidak memandang berat berkenaan kekurangan atlet dalam sesetengah acara.

“Cadangan saya adalah badan induk SUKMA harus denda kepada persatuan negeri sukan yang tidak menghantar atlet di sesuatu acara tersebut,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendedahkan SUKMA 2024 yang akan membuka tirai di Sarawak, Ogos ini berdepan kehilangan beberapa acara sukan ekoran kekurangan atlet yang mengambil bahagian.

Bagaimanapun, Hannah bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi saranan kepada setiap persatuan sukan dan Majlis Sukan Negeri (MSN) masing-masing supaya tidak mewujudkan perbezaan dari segi bilangan atlet terutamatnya kategori wanita.

Dalam pada itu, bekas atlet terjun negara, Datuk Leong Mun Yee turut menyuarakan pendapat beliau supaya persatuan negeri tidak berat sebelah dalam pengambilan atlet wanita dalam acara sukan itu.

Menurutnya, jika keadaan seperti ini berlarutan, Malaysia bakal berdepan ketandusan atlet wanita dalam mewakili negeri mahupun peringkat antarabangsa.

“MSN perlu cakna akan pengambilan atlet di negeri masing-masing. Atlet wanita juga berbakat dalam acara sukan. Sememangnya lebih mudah cari atlet lelaki, namun wanita juga perlu diperkasakan dalam bidang sukan.

“Banyak pendekatan yang boleh diambil seperti mendedahkan sukan yang kekurangan bilangan untuk diuji bakatnya supaya SUKMA tidak terus mengugurkan acara terbabit,” katanya

SUKMA edisi ke-21 akan berlangsung di Bumi Kenyalang pada 17 hingga 24 Ogos ini dengan penyertaan kira-kira 15,000 atlet serta pegawai dari semua negeri dan juga kontinjen jemputan Brunei pada temasya dwitahunan itu.

Untuk rekod, Johor berjaya mengungguli SUKMA edisi lalu selepas menggondol 77 emas dengan mengutip 177 pingat secara keseluruhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×