Lima ulat parkir dicekup di Kampung Hulu

Lima ulat parkir dicekup di Kampung Hulu

ANGGOTA penguat kuasa menyoal siasat ulat parkir yang ditahan di kawasan parkir MBMB di hadapan Masjid Kampung Hulu, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua pasang suami isteri antara lima individu yang berjaya ditahan dalam operasi membanteras ulat parkir di Kampung Hulu di sini, malam tadi.

Operasi pukul 9.00 malam itu membabitkan 19 anggota pelbagai agensi penguat kuasa seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, ulat parkir itu dicekup ketika mengutip duit daripada pemilik kenderaan di kawasan parkir milik MBMB berhampiran Masjid Kampung Hulu yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 47 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, hasil saringan air kencing oleh AADK mendapati, tiga daripadanya termasuk seorang wanita positif dadah.

“Ketiga-tiga yang positif dadah itu kita serahkan kepada AADK untuk tindakan selanjutnya selain itu mereka turut dikompaun kerana melakukan kesalahan
kerana menjalankan aktiviti mengutip duit parkir tanpa lesen.

“Kita terpaksa melakukan penyamaran sebelum dapat menahan mereka kerana sebelum ini mereka dapat menghidu kehadiran penguat kuasa, tetapi malam ini mereka terperangkap.

“Mereka melakukan aktiviti haram dengan mengutip duit parkir tanpa mendapat kelulusan atau lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya kepada pemberita.

Tambah Shadan, turut dirampas wang tunai RM75 yang dikutip daripada orang ramai dengan kadar bayaran antara RM4 hingga RM10.

Jelasnya, operasi dijalankan selepas tular dalam media sosial kewujudan kegiatan ulat parkir yang dilihat semakin menjadi-jadi sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada orang ramai di kawasan tumpuan pelancong.

“Hasil pemantauan penguat kuasa MBMB mendapati mereka telah bergerak aktif sejak lebih sebulan yang lalu.

“Siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan terdiri daripada gelandangan, melihat daripada cara pakaian mereka. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengambil tindakan selanjutnya jika benar mereka ini adalah golongan gelandangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×