ZAMAN sudah maju, tetapi masih ada segelintir individu yang mempercayai sihir dan sanggup melakukan dosa besar.
Paling mengejutkan sihir dilakukan rakan atau saudara terdekat.
Perkara sama berlaku kepada sepasang suami isteri, Salleh dan Reen, (bukan nama sebenar) yang dikatakan terkena sihir lantaran dengki dan iri hati menguasai diri.
Sihir tersebut ditujukan kepada suami, namun Reen turut terkena tempias.
Menerusi perkongsian yang diemel kepada saya baru-baru ini, wanita berusia awal 30 an itu mengimbau kembali kisah pahit tersebut yang berlaku awal tahun 2022.
Jelas Reen, beberapa minggu sebelum suaminya jatuh sakit, dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena.
Suami yang bekerja sebagai eksekutif kewangan di salah sebuah syarikat swasta pada awalnya baik-baik sahaja.
Sejak rebah di tempat kerja, suami sudah tidak boleh menumpukan perhatian kepada kerja dan tugasan yang diberikan majikan.
Apabila dibawa ke hospital, tiada pula tanda penyakit luar biasa.
Tambah Reen, suami dinasihatkan majikan untuk mengambil cuti sakit.
Selepas kesihatan semakin baik, dia kembali bekerja. Namun tidak sampai seminggu, keadaan sama berulang.
Keadaan kesihatan suami semakin merosot. Hospital menjadi rumah kedua mereka.
Menurut Reen, gangguan itu bukan sahaja dirasai suami tetapi dirinya juga.
Jika suami selalu sesak di dada terutama menjelang senja dan tengah malam, lain pula dirinya.
Dia sering bermimpi buruk, bertemu dengan binatang berbisa seperti ular dan kala jengking.
Mimpi tersesat tanah perkuburan, mimpi jatuh dari tempat tinggi, mimpi tenggelam dan hanyut di sungai.
Atas nasihat seorang teman, Reen dan suami kemudiannya cuba mendapatkan rawatan dengan seorang pengamal perubatan Islam.
“Kami dimaklumkan semua yang berlaku akibat ilmu hitam oleh orang terdekat.
Selepas mengikuti beberapa kali rawatan, akhirnya suami sembuh daripada penderitaan dialami.
Namun bahagia hanya seketika.
Selang beberapa bulan, mereka diuji lagi apabila tangan suami bengkak tiba-tiba tanpa sebab munasabah.
Selang beberapa hari, suami tidak mampu berjalan dan sering mengadu badannya sakit seperti dicucuk.
Selepas pelbagai rawatan dilakukan, doktor mencadangkan agar suami mendapat rawatan tradisional dan berjumpa dengan ustaz. Kata Reen, dia dan keluarga sebelah suami berusaha membawanya pergi berubat, namun belum berjaya sepenuhnya.
“Sudah banyak kali kami, berikhtiar, bawa suami pergi berubat sana sini, tetapi pulih sekejap sahaja, kemudian sakit kembali,” kongsi Reen.
Setiap kali melihat wajah suami, timbul simpati di hatinya.
Sepanjang berkahwin hampir 23 tahun dengan lelaki itu, dia mengenali suaminya itu sebagai seorang yang baik dengan orang sekeliling.
Mana mungkin, suami yang dikenali sebagai seorang yang penyayang dan lemah lembut bersikap buruk kepada orang lain.
Dia sendiri tidak tahu kenapa ada manusia yang sanggup buat begitu kepada suaminya.
Sepanjang menanggung kesakitan wajah suaminya pucat, cengkung dan kurus kering.
Suami sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital selepas beberapa kali pengsan.
Dinasihatkan berhenti kerja oleh majikan merupakan kemuncak kepada penderitaan ditanggung suami.
“Sukar untuk menerima kenyataan suami tidak lagi mempunyai pekerjaan tetap. Terfikir ketika itu bagaimana, saya dan anak-anak meneruskan kehidupan selepas itu sedangkan saya hanya mengusahakan gerai menjual nasi lemak dan kuih muih,” tulis Reen.
Lantaran keadaan suami yang sekejap sihat, sekejap sakit itu, Reen mengambil keputusan untuk memberi sepenuh perhatian kepada suami.
Dalam masa sama, dia mengambil tempahan nasi lemak dan kuih muih di rumah sementara waktu, susulan gangguan sihir itu.
Malah dedah Reen, kesihatan suaminya semakin merosot apabila mengalami muntah-muntah setiap kali mahu makan.
“Asalnya saya sendiri kurang percaya suami terkena buatan orang. Apabila melihat dengan mata kepala sendiri, tak boleh nak cakap apa,” katanya.
Kata Reen lagi, dia reda dengan ujian tersebut, bagaimanapun tidak pernah berputus asa sebaliknya mahu memfokuskan suami dan anak-anak.
Tulisnya, selain wang yang diperoleh daripada hasil jualan nasi lemak dan kuih muih, pampasan diterima daripada majikan suami dapat mengurangkan sedikit sebanyak beban ditanggung.
“Walaupun tidak banyak, wang itulah yang digunakan untuk membeli keperluan harian suami seperti lampin pakai buang, makanan tambahan dan lain-lain,” tulisnya dalam kiriman emel itu lagi.
Menurut wanita tabah itu, walaupun sehingga ke hari ini selepas tiga tahun suami terlantar sakit akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan itu, dia tidak pernah cuba ambil tahu siapa pelakunya.
“Berdasarkan kiasan daripada beberapa ustaz saya temui semasa merawat suami, mereka yang melakukan sedemikian terhadap suami adalah orang terdekat.
“Jujur, pada awalnya saya ingin tahu siapa pelakunya, namun saya pujuk hati untuk tidak ambil tahu agar tidak menimbulkan perasaan dendam, marah yang berpanjangan,” tulisnya lagi. Sebaliknya, apa yang berlaku itu, lebih menguatkan semangatnya dan anak-anak dalam menghadapi ujian.
“Saya percaya di muka bumi ini tiada sesiapa yang berkuasa kecuali Allah Taala,” tulisnya lagi.
Sesungguhnya, dalam Islam mempelajari dan mengamalkan ilmu sihir adalah haram sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW bermaksud:
Jauhilah tujuh jenis doa besar yang membinasakan.
Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina. (HR Bukhari 2766).










