PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mahu meningkatkan enrolmen pelajar politeknik dan kolej komuniti kepada 120,000 orang tahun hadapan daripada kira-kira 97,000 orang ketika ini.
Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, pertambahan itu bagi mengatasi kekurangan seramai 30,000 jurutera sebagaimana dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jumlah pelajar politeknik dan kolej komuniti ketika ini kira-kira 97,000 orang dengan 50 peratus daripadanya dalam bidang kejuruteraan dan alumni kita pula berjumlah hampir sejuta orang.
“Berdasarkan apa yang diperlukan negara, saya yakin dan percaya kemasukan pelajar dalam bidang TVET akan dipertingkat dan kita jangka pada 2025 kita akan dapat 120,000 enrolmen, itu sasaran kita,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan Silaturahim Syawal dan Sesi Perjumpaan Ketua Pengarah bersama warga JPPKK di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Malaysia mengalami kekurangan seramai 30,000 jurutera untuk mendepani cabaran teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
Sehubungan itu, Anwar berkata, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu dipertingkatkan dalam usaha untuk menguasai teknologi itu.
Menurut Mohd. Zahari, visi JPPKK menjelang 2030 menjangkakan seramai 300,000 pelajar akan berada di kampus sama ada politeknik, kolej komuniti atau Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) di seluruh negara.
“Dalam ekosistem TVET itu sendiri kita adalah penyumbang terbesar kepada tenaga kerja TVET iaitu melebihi 40 peratus. Kita mempunyai agenda yang besar iaitu untuk memperkasa bidang teknikal dan vokasional di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Bidang yang kita fokuskan adalah TVET tinggi untuk melahirkan jurutera-jurutera profesional dalam bidang yang diperlukan oleh negara seperti disebutkan oleh Perdana Menteri seperti bidang AI, robotik, perkomputeran awan dan sebagainya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, JPPKK juga akan terus memperkasa program asasi teknologi TVET selepas ia diperkenalkan tahun lalu dengan menambah bilangan institusi yang terlibat.
Selain itu katanya, mana-mana graduan yang telah menamatkan pengajian, kumpulan tersebut boleh mengikuti program `reskilling’ dan `upskilling’ berdasarkan minat serta kepakaran mereka.
“Bagi program asasi TVET, sambutan yang diterima 100 peratus menggalakkan dan ia menjadi pilihan pertama dalam kalangan pelajar. Kita berada di lima buah politeknik dan 4 MTUN.
“Untuk tahun ini kita akan tambah lagi di beberapa buah universiti seperti Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Kuala Lumpur, itu kita punya hasrat dan sudah semestinya bilangan (program asasi TVET) di politeknik yang terlibat juga akan bertambah,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan sebuah politeknik baharu akan dibina di Kota Belud, Sabah dan telah mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU).
“Kita dalam perancangan untuk menambah beberapa politeknik baharu serta kolej komuniti. Politeknik Kota Belud telah diluluskan oleh EPU, sekarang ada 36 dan nanti akan jadi 37 buah politeknik.
“Proses perolehan tanah telah selesai dan kita berharap bajet untuk pembinaan akan diluluskan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN










