CALIFORNIA: Perang dingin antara Universal Music Group (UMG) dan TikTok akhirnya terlerai apabila masing-masing berjaya mencapai kata sepakat menerusi satu persetujuan penerbitan pada Rabu.
Menerusi perjanjian itu, UMG kini membenarkan pengguna untuk mengakses kesemua lagu yang diterbitkan label tersebut di TikTok selepas tiga bulan menyekat kebenaran gara-gara keengganan platform media sosial itu membayar royalti yang sewajarnya kepada artis.
TikTok berjanji akan memberi imbuhan yang wajar kepada UMG dan artis mereka serta membuka lebih banyak peluang urus niaga dalam talian artis berkenaan.
Bukan itu sahaja, aplikasi berkenaan juga akan mengukuhkan aspek keselamatannya selain menyekat penggunaan muzik yang tidak dibenarkan di platform tersebut.
“Muzik adalah perkara yang sangat penting dalam ekosistem di platform kami. Sangat bersyukur kerana akhirnya kami berjaya mencapai kata sepakat dengan pihak UMG.
“Kami komited untuk menjalankan kerjasama dengan pihak UMG dan membantu artis mereka untuk melebarkan pengaruh dan berhubung dengan lebih ramai pengguna di platform TikTok.
“Kami berbesar hati untuk menyambut kedatangan UMG kembali ke platform kami,” kata ketua pegawai eksekutif TikTok, Shou Chew dalam kenyataan.
Terdahulu, jutaan lagu di bawah label UMG telah diturunkan daripada TikTok selepas lesen penggunaannya luput pada Februari tahun ini.











