DONG NAI: Ratusan ribu ikan mati dalam takungan di wilayah Dong Nai, selatan Vietnam, dengan penduduk tempatan dan laporan media mencadangkan gelombang haba dan pengurusan tasik yang lemah menjadi punca kejadian tersebut.
Seperti kebanyakan negara Asia Tenggara di mana sekolah terpaksa ditutup awal dan penggunaan elektrik meningkat, selatan dan tengah Vietnam turut dilanda gelombang haba yang dahsyat.
“Semua ikan di dalam kawasan Tasik Song May mati kerana kekurangan air. Urusan harian kami turut terganggu sejak 10 hari lalu kerana baunya yang kuat,” kata seorang penduduk tempatan di daerah Trang Bom, Nghia.
Gambar menunjukkan penduduk menaiki bot mengharungi takungan di Tasik Song May seluas 300 hektar, dengan air hampir tidak kelihatan di bawah puluhan bangkai hidupan marin yang terapung.
Menurut laporan media, kawasan itu tidak mengalami hujan selama berminggu-minggu menyebabkan air tasik terlalu rendah untuk makhluk itu bertahan.
Menurut Nghia, pengurusan takungan sebelum ini membuang air dari tasik itu untuk cuba menyelamatkan tanaman di hilir.
“Mereka kemudian cuba mengubah suai takungan itu, membawa masuk pam untuk mengeluarkan lumpur supaya ikan mempunyai lebih banyak ruang dan air,” katanya.
Bagaimanapun, usaha itu tidak membuahkan hasil dengan laporan media tempatan mencadangkan sebanyak dua ratus tan metrik ikan mungkin sudah musnah.
Akhbar Tuoi Tre melaporkan, firma yang bertanggungjawab menguruskan tasik itu mula mendalamkannya pada awal 2024, dan awalnya merancang untuk melepaskan air tambahan ke dalam takungan untuk ikan itu.
“Tetapi disebabkan gelombang haba yang tidak henti-henti, pelabur melepaskan air ke kawasan hilir, menyebabkan paras air turun. Akibatnya, berpuluh-puluh ribu ikan mati mendadak,” lapor akhbar itu.
Takungan itu merupakan sumber air untuk tanaman di daerah Trang Bom dan Vinh Cuu di wilayah Dong Nai.
Pihak berkuasa berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu sambil bekerja keras untuk mengeluarkan ikan mati dengan cepat.
“Kami berharap pihak berkuasa akan melakukan yang terbaik untuk memperbaiki keadaan,” kata Nghia.-AFP











