NEW DELHI: Tular dalam media sosial India baru-baru ini bahawa seorang lelaki didakwa membayar yuran berjumlah lebih 300,000 rupee (RM17,139) kepada sebuah platform pencarian jodoh demi mendapatkan lamaran perkahwinan daripada keluarga kaya untuk anak perempuannya.
Kenyataan dimuat naik itu mendakwa lelaki berkenaan sanggup berbelanja besar kerana mahu berbesan dengan keluarga kaya yang mempunyai perolehan pendapat lebih 2 bilion rupee (RM114 juta).
Urusan aneh itu menarik perhatian netizen dan mencetuskan perdebatan hangat tentang kesanggupan seorang bapa berbelanja untuk mengahwinkan anak perempuannya.
“Ayah rakan saya sanggup membayar 3 lakh sebagai yuran untuk hanya diperkenalkan dengan keluarga yang mempunyai perolehan 200 crore,” tulis pengguna laman X, Mishka Rana.
Rana turut bertanya kepada rakan pengikutnya sama ada mereka akan melakukan perkara yang sama.
Komen mula membanjiri siaran itu yang menerima hampir 250,000 tontonan.
“Masuk akal. Perlu membayar premium untuk petunjuk berkualiti tinggi.
“Elit harus berkahwin dengan golongan elit. Tidak ada salahnya,” ulas seorang warganet.
Siaran itu tidak mendedahkan apa-apa tentang keluarga, atau platform tempat yuran dibayar namun Rana menjawab kepada seorang pengguna bahawa nilai bersih pendapatan bapa rakannya itu juga berjumlah ratusan ribu rupee.-AGENSI











