IPOH: Dua pemain muda antara 18 pemain yang bakal menggalas cabaran negara pada kejohanan hoki jemputan antarabangsa Piala Sultan Azlan Shah bermula Sabtu ini.
Dua pemain itu ialah Azimuddin Syakir Kamaruddin dan bekas penjaga gol pasukan remaja kebangsaan, Che Sharul Azmi Che Saupi .
Menerusi senarai yang dikeluarkan, kedua-dua pemain itu pertama kali dipanggil menyertai pasukan senior lelaki kebangsaan, bakal meraih caps antarabangsa pertama mereka.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengeluarkan senarai 18 pemain yang bakal membawa cabaran Malaysia pada kejohanan edisi ke-30 itu.
New Zealand, Kanada, Jepun, Korea Selatan dan Pakistan adalah enam negara termasuk Malaysia yang menyertai kejohanan kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan merangkap Pengurus Pasukan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak secara rasminya mengumumkan senarai pemain terbabit.
Jelasnya, apa yang dituntut daripada 18 pemain yang telah dipilih bagi kejohanan itu ialah setiap pemain dapat memberikan aksi yang terbaik.
Menurutnya, ini bagi membantu pasukan mencapai keputusan terbaik dalam kejohanan pertama mereka.
“Ini merupakan kejohanan pertama buat pasukan yang baru dibentuk dan kami berharap agar kombinasi 18 pemain baru dan lama dapat membentuk satu keserasian dan persembahan terbaik di kejohanan ini.
“Kami ingin melihat satu kerjasama yang baik antara barisan pemain dan kejurulatihan selain pasukan akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan untuk diberikan perhatian,” katanya. – UTUSAN









