Orang Asli rayu kemudahan bekalan elektrik

Orang Asli rayu kemudahan bekalan elektrik

DZULKEFLY Ahmad melawat seorang penduduk Orang Asli yang menjalani pemeriksaan gigi di Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Bharu, semalam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Penduduk Kampung Orang Asli Bukit Jantung, Kuala Kubu Bharu, di sini merayu kerajaan menyediakan kemudahan bekalan elektrik sebagai keperluan asas mereka.

Menurut Ketua komuniti Orang Asli, Tok Batin Asu, kampung berkenaan tidak pernah menerima bekalan elektrik sejak 2018 apabila kawasan itu dijadikan penempatan dan pernah membuat permohonan beberapa kali.

“Penempatan di situ merupakan kampung baharu yang mula diduduki pada 2018, jadi ada jalan dan sebagainya. Cuma kami memohon bekalan elektrik di kawasan itu yang merupakan keperluan asas.

“Saya pernah membuat permohonan tetapi belum diterima. Permohonan sebelum ini juga dibuat serentak dengan Kampung Songkok dekat Jalan Batang Kali – Genting Highlands, tetapi kampung itu lebih dahulu dapat bekalan elektrik. Kampung Orang Asli Bukit Jantung, belum lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu beliau bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang melawat Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak dalam program Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional di bawah Agenda Nasional Sihat (ANMS).

Tambahnya, selain masalah bekalan elektrik, turut dirayu perhatian kerajaan adalah membaik pulih jalan di kampung-kampung Orang Asli termasuk di Kampung Bukit Jantung itu sendiri.

Sementara itu, Dzulkefly ketika ditemui memaklumkan, penyelesaian kepada masalah bekalan kemudahan asas di perkampungan Orang Asli harus dicapai melalui pendekatan seluruh kerajaan yang melibatkan kerjasama rentas kementerian atau agensi.

“Kampung Orang Asli Bukit Jantung belum mendapat bekalan elektrik. Hal ini sedia sedang dalam tindakan pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Sebuah menara telekomunikasi juga baru siap berhampiran Kampung Orang Asli Kuala Kerling, namun belum beroperasi. Setelah beroperasi, perkhidmatan data internet akan bertambah baik.

“Selari dan bersama dengan itu juga, Kementerian Kesihatan sedang merangka pelan tindakan untuk menangani isu-isu berbangkit berkaitan kesihatan Orang Asli,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×