Kerajaan beli 20 buah pam bantu pesawah Kelantan

Kerajaan beli 20 buah pam bantu pesawah Kelantan

MOHAMAD Sabu (kiri) bersama Mohd. Nassuruddin Daud dan Anwar Ibrahim beramah mesra semasa mengadakan pertemuan tertutup di Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Golongan pesawah di negeri ini menarik nafas lega apabila kerajaan meluluskan peruntukan untuk membeli sebanyak 20 pam air baharu bagi meringan kerugian yang terpaksa ditanggung akibat musim kemarau.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tertutup antara wakil Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Kelantan sebentar tadi.

“Kita telah berbincang dan meluluskan untuk membeli pam air yang baharu bagi membantu pesawah di Kelantan.

“Saya kurang pasti jumlah sebenar peruntukannya, tetapi ia diberi mengikut keperluan. Hari ini, kita luluskan untuk membeli 20 unit pam air baharu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan tertutup dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut menyertai kunjungan hormat dan pertemuan tertutup Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Mohd. Nassuruddin sebelum menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 di Bandar Baru Tunjong, di sini malam ini.

Dalam perkembangan sama, Mohamad turut mengakui masalah kerosakan tanaman di Kelantan tahun ini merupakan antara terburuk berbanding sebelum ini.

“Tahun ini berlaku keadaan cuaca panas luar biasa di Kelantan. Bagaimanapun, bantuan-bantuan khas akan diberikan bergantung kepada permohonan daripada petani dan pesawah,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×