KPM terima serahan tiga projek di SSAS

KPM terima serahan tiga projek di SSAS

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan tetamu ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KPM di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Projek penggantian trek sintetik, menaik taraf padang dan astaka Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS) yang selesai pembinaannya diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini.

Penyerahan itu dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dengan disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek.

KPM memaklumkan, skop projek berkenaan antaranya melibatkan penaiktarafan padang sedia ada daripada jenis rumput asli kepada rumput sintetik yang melibatkan kos sebanyak RM9,058,000.

Selain itu, projek itu turut menjadi projek pertama di Putrajaya dan Sekolah Berasrama Penuh (BSP) yang menerima pengiktirafan daripada dua badan sukan antarabangsa iaitu International Rugby Board (IRB) dan Federation of International Football Federation (FIFA).

Projek berkenaan diluluskan di bawah peruntukan pembangunan KPM berikutan permukaan padang tidak lagi kondusif dan permukaan trek yang merisikokan kecederaan kepada pelajar.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSAS, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau berharap penyerahan projek berkenaan dapat menjadi suntikan semangat kepada para pelajar serta guru.

“Saya usahakan projek ini kerana SSAS adalah sebuah ‘showcase school’. Maknanya kalau ada dalam kalangan mereka yang datang dari luar negara untuk lawatan, maka sekolah ini jadi tatapan.

“Sebab itu lah kualitinya harus dipertingkat, ditambah pula dengan pencapaian anak-anak di sekolah ini yang berada di paras yang amat membanggakan. Jadi dengan adanya pencapaian itu, saya perlu membawa satu hadiah kepada anak-anak di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri KPM di SSAS hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk menyantuni dan beramah mesra bersama warga KPM.

Pada majlis sama, seramai 50 murid turut menerima sumbangan duit raya yang terdiri daripada 20 anak yatim dan kumpulan B40 dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih serta 30 pelajar SSAS dari kumpulan berpendapatan rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×