KOTA BHARU: Pembinaan projek fasa 2 Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini bermula serta-merta selepas terminal baharu fasa 1 beroperasi secara rasmi semalam.
Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pembinaan itu dijalankan serta-merta supaya ia dapat disiapkan mengikut jadual.
“Projek LTSIP fasa 2 ketika ini telah bermula selepas terminal baharu fasa 1 mula beroperasi.
“Ia melibatkan bangunan lama LTSIP yang dirobohkan untuk pembangunan bagi projek fasa kedua,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Program Kampung Angkat Madani di Kampung Aril Melor di sini, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, LTSIP bersedia untuk menerima penerbangan antarabangsa masuk ke Kelantan hujung tahun ini susulan terminal baharu fasa 1 beroperasi se cara rasmi semalam.
Pengurus Besar Kanan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), Kamaruzzaman Razali berkata, beliau yakin terminal baharu LTSIP ketika ini mempunyai kemudahan lengkap untuk menerima penerbangan antarabangsa ke Kelantan. – UTUSAN










