Malaysia bangkit tumpaskan New Zealand - Utusan Malaysia

Malaysia bangkit tumpaskan New Zealand

PEMAIN negara cuba menyekat kemaraan pemain New Zealand dalam perlawanan persahabatan di Stadium Azlan Shah di Ipoh, kelmarin. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Malaysian Tigers menunjuk perwatakan mantap apabila bangkit menumpaskan New Zealand 3-2 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Azlan Shah di sini petang tadi.

Ketinggalan dua kali kepada pasukan Black Sticks, anak buah Sarjit Singh bangkit pada suku ketiga dan akhir untuk menang dalam perlawanan pemanas badan sebelum kejohanan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-30 bermula pada Sabtu ini.

Kemenangan ini pasti tonik terbaik buat Speedy Tigers sebelum membuka kempen bertemu Pakistan..

Lebih manis, kemenangan itu dicatat ke atas pasukan yang telah layak ke Sukan Olimpik Paris.

Sarjit Singh mengakui perlawanan sebegini memberi manfaat cukup baik kepada pasukan dan ia merupakan perlawanan yang berintensiti tinggi.

Jelasnya, keputusan perlawanan bukan menjadi keutamaan tetapi dapat dilihat bagaimana pemain-pemain memberi komitmen sepenuh hati di atas padang.

“Perlawanan seperti ini yang kita mahukan, tempo perlawanan yang cukup tinggi dan memberi manfaat yang cukup baik kepada pemain-pemain.

“Pujian juga harus diberikan kepada setiap pemain kerana memberi komitmen yang cukup baik dan seperti yang saya katakan, kami memerlukan masa untuk membentuk keserasian,” katanya selepas perlawanan.

Dalam masa sama, Sarjit turut berharap peminat-peminat tempatan untuk terus memberi sokongan positif kepada pasukan dan memberi masa kepada beliau dan pemain-pemain membentuk pasukan yang mantap.

“Saya harap semua pihak termasuk peminat dapat memberi sokongan penuh kepada kami dalam membentuk sebuah pasukan mantap,” jelasnya.

Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia, akan memulakan kempen menentang juara tiga kali Pakistan pada 4 Mei, diikuti aksi menentang Kanada (5 Mei), juara dua kali New Zealand (7 Mei), Jepun (8 Mei) dan juara tiga kali Korea Selatan (10 Mei).

Berdasarkan format kejohanan yang telah memasuki edisi ke-30, dua pasukan teratas liga sepusingan akan mencabar untuk kejuaraan, manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×