Ringgit dijangka melemah sehingga akhir minggu ini - Pakar

Ringgit dijangka melemah sehingga akhir minggu ini – Pakar

ringgit
Ringgit didagang lebih tinggi berbanding dolar berikutan keyakinan rundingan perdagangan Amerika Syarikat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka melemah sehingga akhir minggu ini dari RM4.77 kepada RM4.79 dipengaruhi Indeks Dolar AS (DXY) yang terus kukuh, kata pakar ekonomi.

Pada pukul 5 petang kelmarin, ringgit ditutup rendah pada 4.7680/4.7720 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.7670/4.7720 ketika ditutup pada Isnin.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, DXY meningkat 0.18 peratus dalam tempoh lima hari kepada 105.892 mata dan  terus kukuh 0.21 peratus hari ini kepada 105.857 mata, menyebabkan ringgit menurun.

“Ringgit diniagakan dalam mod berhati-hati disebabkan ramai pengurus dana menunggu arah pasaran yang lebih jelas,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, semalam.

Jelas Aimi, ini berikutan menunggu keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang akan menutup mesyuarat dasar dua harinya pada Rabu, laporan pekerjaan AS pada hari Jumaat serta data inflasi Eropah sepanjang minggu bermula dengan Jerman dan Sepanyol pada hari Isnin.

Katanya, para pelabur pula sentiasa terpaksa mengatur semula strategi masing-masing kerana jangkaan untuk masa dan magnitud pemotongan kadar AS tahun ini masih belum jelas bila akan dilakukan.

“Para pengurus menjangkakan pengumuman dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS pada 1 Mei akan mengekalkan kadar dan tidak berubah memandangkan pasaran buruh yang kukuh dan data inflasi terkini yang lebih ‘panas’ daripada yang dijangkakan,” ujarnya.

Tambahannya, bank-bank pusat utama lain seperti Bank Pusat Eropah (ECB) dan Bank England pula dilihat lebih berkemungkinan akan mula mengurangkan kadar dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada data inflasi Eropah minggu ini yang akan memberikan lebih banyak maklumat untuk dipertimbangkan oleh ECB. 

Beliau berkata, kadar inflasi selaras Kesatuan Eropah Sepanyol berada pada 3.4 peratus dalam tempoh 12 bulan hingga April, meningkat daripada 3.3 peratus. 

“Data dari Jerman menunjukkan inflasi meningkat sedikit pada bulan April disebabkan oleh harga makanan yang lebih tinggi dan penurunan harga tenaga yang lebih kecil,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×