HULU SELANGOR: Kerajaan Perpaduan yakin dengan ‘ramuan’ kempennya yang meliputi semua kaum dapat membantu calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao memenagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kerajaan Perpaduan menampilkan kekuatan merangkumi semua kaum dan agama yang melambangkan Malaysia sebagai negara berbilang bangsa.
Menurut beliau, kerajaan ingin menampilkan kekuatan daripada kerjasama antara kaum yang dipercayai turut membantu dalam mewujudkan politik stabil dan maju.
“Ini telah dibuktikkan walaupun calon yang ditampilkan oleh Kerajaan Perpaduan daripada kaum Cina tetapi pemimpin-pemimpin daripada semua kaum, dari semua parti komponen kerajaan tetap memberi sokongan padu.
“Kita nak menggalakan perpaduan dalam kepelbagaian, inilah kekuatan kerajaan yang kita nak tampilkan,” katanya ketika hadir membantu Sock Tao berkempen di sini haeri ini.
Sock Tao berdepan dengan persaingan empat penjuru pada 11 Mei ini iaitu antara pencabarnya adalah Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).
Mengulas lanjut, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, Sock Tao ‘lulus’ ujian dalam beberapa hari kempen berlangsung.
“Saya memerhati dengan dekat, apa sahaja yang nak dilontarkan oleh pihak lawan, dia (Sock Tao) jawab dengan mudah sahaja. Mungkin pihak lawan tidak tahu beliau ini merupakan pendebat di universiti.
“Baik dari segi kritikan atau serangan peribadi, persoalkan kelayakan pendidikannya. Semua itu boleh dijawab dengan mudah. Ini kebolehan yang ada pada calon kita,” katanya. – UTUSAN











