ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencatat kemenangan 3-1 terhadap Penang FC yang beraksi dengan 10 pemain untuk tempoh hampir sejam, dalam aksi pra musim yang berlangsung di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Dalam perlawanan itu, Kedah terlebih dulu memulakan ancaman menerusi percubaan kaki kiri pemain tengah mereka, Habib Haroon dari penjuru kiri kotak penalti pelawat. Penjaga gol Penang, Shafiq Afifi bagaimanapun berada di kedudukan tepat untuk menepis bola keluar.
Di sebalik penguasaan tuan rumah, gol pertama terhasil untuk skuad Harimau Kumbang pada minit ke-13. Segalanya bermula apabila pertahanan import Sang Kenari dari Brazil, Jose Cleylton De Morais melakukan kekasaran terhadap pemain lawan berhampiran kotak penalti Kedah.
Sepakan percuma diambil pertahanan Penang, Adib Raop tepat ke kepala rakan sepasukannya dari Ghana, Richmond Ankrah sebelum pemain berketinggian 1.9 meter itu melakukan tandukan menewaskan penjaga gol tuan rumah, Kalamullah Al-Hafiz.
Kelebihan memihak Penang bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Kedah kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-26 menerusi sepakan separuh voli dilakukan Habib dalam kotak penalti setelah menerima hantaran silang daripada Sony Norde.
Memasuki minit ke-34, pasukan pelawat kehilangan seorang pemain apabila Adib menjatuhkan sayap lincah Kedah, Sukhrob Nurulloev dalam keadaan pemain dari Uzbekistan itu memiliki peluang untuk melepaskan diri bagi membuat jaringan.
Pengadil, Muhammad Munir Mohd. Izam yang pada mulanya melayangkan kad kuning, membatalkan keputusan itu untuk mengangkat kad merah kepada Adib setelah merujuk kepada video bantuan pengadil (VAR).
Bersambung babak kedua, rujukan pengadil menerusi VAR sekali lagi menyebelahi tuan rumah yang dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-50 berikutan tindakan Rafael Vitor menarik baju Fazrul Danel.
Peluang itu tidak disia-siakan penyerang baharu Sang Kenari dari Serbia, Milos Gordic untuk melepaskan sepakan padu menewaskan penjaga gol gantian Penang, Sikh Izhan untuk kedudukan menjadi 2-1 memihak tuan rumah.
Minit ke-65, Milos terus menceriakan hampir 4,000 penyokong tuan rumah apabila dia bijak mengambil kesempatan dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol lawan, bagi melepaskan rembatan leret untuk gol ketiga Kedah. -UTUSAN









