Sayunya Aidilfitri di sebalik pagar berduri

Sayunya Aidilfitri di sebalik pagar berduri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, kemeriahan berkumpul bersama anggota keluarga antara satu kemestian dalam kebanyakan keluarga.

Menyambut Ramadan dan meraikan Aidilfitri tanpa ahli keluarga terutama anak-anak pasti membuatkan hati terasa sayu.

Begitulah perasaan yang dialami klien-klien yang kini sedang menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Papar, Sabah.

Bagi Zack, 38, (bukan nama sebenar) yang berasal dari Tawau, kerinduan terhadap anak begitu terasa sejak dimasukkan ke Puspen pada Februari tahun lalu.

Ujar Zack, walaupun tiada lagi peluang berbaik semula dengan isterinya namun, cukup sekiranya dapat bertemu dan melepaskan kerinduan dengan ketiga-tiga anaknya.

“Sejak ditangkap dan dijatuhi hukuman, saya langsung tidak berjumpa dengan anak-anak, apatah lagi berhubung dengan mereka melalui panggilan telefon atau video,” katanya yang terjebak dengan najis dadah jenis syabu sejak berusia awal 20-an.

Memandangkan dia datang daripada keluarga yang susah, sejak dimasukkan ke Puspen, tiada seorang pun ahli keluarga datang melawat.

Biarpun hiba, dia cuba tabahkan hati dan meneruskan pemulihan di situ sehingga selesai menjalani rawatan.

“Selepas tamat menjalani pemulihan, saya mahu berjumpa dengan anak-anak untuk melepaskan rindu yang sekian lama,” katanya.

Mengakui dirinya bukanlah anak baik, katanya, berada di situ sering menyebabkan dia terkenang kenangan bersama keluarga.

“Ibu saya sering menangis apabila saya menghubungi melalui panggilan telefon.

“Semasa berada di luar, saya bukan juga bagus dengan orang tua tapi, apabila berada di sini, perasaan sayu dan menyesal mula timbul. Saya rasa cukup terkilan dan menyesal kerana mengecewakan harapan ibu,”
katanya.

Biarpun sayu meraikan Aidilfitri jauh daripada keluarga namun, dia tetap bersyukur kerana dapat berkongsi kemeriahan Aidilfitri dengan klien yang senasib dengannya di Puspen.

BERUBAHLAH DEMI IBU
Bagi Boboy, 32, yang merupakan klien berulang Aidilfitri ini adalah tahun kedua dia menjalani pemulihan dan rawatan di situ.

Kali pertama dia dimasukkan ke situ pada 2020 semasa tertangkap dalam serbuan ketika sedang membungkus syabu dan kali kedua pada Februari lalu atas laporan keluarga.

“Pertama kali dijatuhi hukuman di sini, saya memang tidak dapat menerima hakikat dan sentiasa memberontak. Namun pada kali ini, atas nasihat keluarga yang mahu melihat saya berubah maka, saya akan berusaha menjalani pemulihan di sini dengan sebaiknya,” katanya.

Boboy terjebak dengan syabu semasa berada di sekolah menengah akibat terikut-ikut dengan trend apabila kebanyakan rakan sekolahnya mengambil syabu.

Biarpun pernah menyambut Ramadan dan Aidilfitri di Puspen sebelum ini namun, hatinya tetap sayu setiap kali mendengar laungan takbir raya dan terpisah jauh daripada keluarga tercinta.

“Semasa menghubungi ibu melalui panggilan telefon, ibu berpesan ‘berubahlah nak, jangan sampai nanti tidak dapat lihat mama lagi’.

“Pesanan itu membuatkan saya berazam meninggalkan najis dadah selepas tamat menjalani pemulihan kelak,” katanya.

KETAGIHAN DADAH ADALAH PENYAKIT
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini kes berulang di Puspen semakin berkurang, kalau ada pun hanya satu atau dua orang sahaja.

Pengarah Puspen Papar, Roswati Apin berkata trend itu menunjukkan ramai bekas klien berjaya mengekalkan itu menunjukkan ramai bekas klien berjaya mengekalkan kepulihan sehingga tempoh dua tahun selepas tamat menjalani pemulihan di Puspen.

Ujarnya, kes berulang dapat dikurangkan kerana Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menambah baik program baik pulih sedia ada supaya lebih komprehensif.

“Program rawatan dan pemulihan dijalankan mengambil kira aspek sosial, psikologi dan spiritual. Kepulihan ini juga disumbang oleh kesediaan klien untuk mengurangkan tabiat penagihan dadah.

“Apabila klien dimasukkan ke sini, kita struktur semula tingkah laku mereka agar dapat berfungsi seperti orang biasa dan hidup dengan lebih produktif,” katanya.

Ujarnya, masyarakat juga dilihat semakin terbuka dan mula melihat penagihan dadah adalah sejenis penyakit yang boleh dirawat, bukannya sebagai kes jenayah.

“Sokongan dan galakan komuniti, boleh membantu penagih dirawat sekaligus memberi peluang kedua kepada mereka dalam menjalani kehidupan.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 316 orang klien menerima rawatan dan pemulihan di Puspen.

Daripada jumlah itu, 280 orang dimasukkan ke Puspen Papar secara mandatori iaitu atas arahan mahkamah dan selebihnya, 34 orang secara sukarela.


PUTUS HARAPAN TERUSKAN HIDUP
Klien masuk dalam keadaan putus harapan hingga membuat cubaan membunuh diri, antara pengalaman paling mencabar pernah ditangani Pegawai Pemulihan

Puspen, Azra Balkis Abu Hasan, sepanjang dua tahun berkhimat di situ.

Katanya, klien berusia 42 tahun itu datang dalam keadaan menangis dan putus harapan.

“Sebenarnya sebelum terjebak dengan dadah, dia tertekan dengan pelbagai masalah keluarga sehingga
berlaku penceraian kali pertama.

“Bila dimasukkan ke sini, berlaku lagi penceraian kali kedua. Namun, apabila kita beri kefahaman dan perhatian secara berterusan, dia semakin yakin dengan diri sendiri.

“Pemulihan dilakukan diharap dapat membantu klien faham bahawa penagihan boleh dipulihkan,”
katanya.

Jelas Azra, berdasarkan penilaian dilakukan terhadap klien, kebanyakan mereka kurang menitikberatkan faktor agama dan itu memudahkan mereka terpengaruh.

Apabila tertekan dan hilang punca, mereka tiada tempat untuk dituju melainkan dengan mengambil dadah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×