PETALING JAYA: Purata harga jualan rumah baharu di seluruh negara pada suku pertama tahun ini adalah RM582,887, manakala purata harga jualan rumah terpakai atau ‘subsale’ pula pada RM521,614, kata Juwai IQI.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, purata harga jualan berkenaan adalah lebih tinggi berbanding purata harga rumah yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) pada 2023 iaitu pada RM467,144.
“Tidak mengejutkan apabila Kuala Lumpur mempunyai hartanah termahal di negara ini. Harga purata rumah ‘subsale’ di Kuala Lumpur ialah RM801,557. Rumah baharu agak lebih mampu milik dengan harga purata RM708,462.
“Selepas Kuala Lumpur, tiga negeri paling mahal untuk rumah ‘subsale’ ialah Kuala Lumpur, Sarawak, Sabah, dan Johor.
“Tiga negeri termahal seterusnya untuk jualan rumah baharu ialah Johor, Sabah dan Kedah,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Kashif berkata, Terengganu adalah negeri paling murah untuk membeli rumah ‘subsale’, dengan purata harga RM293,714 dan diikuti oleh Perak, Kedah dan Pahang.
“Pada suku pertama, Melaka adalah negeri paling murah bagi unit rumah baharu. Purata harga sebuah unit rumah baharu di Melaka adalah RM305,463.
“Selepas Melaka, negeri seterusnya yang kurang mahal untuk membeli sebuah unit rumah baharu adalah Pahang, Perak dan Kelantan,” ujarnya.
Beliau berkata, kebanyakan pembelian rumah walau bagaimanapun adalah dalam lingkungan harga lebih rendah, dengan lebih separuh pembeli rumah baharu membayar RM500,000 atau kurang pada suku pertama.
Tambahnya, hanya suku daripada pembeli membayar lebih RM750,000 bagi rumah baharu mereka.
“Pasaran ‘subsale’ menyaksikan nisbah yang serupa dengan hampir separuh pembeli membelanjakan RM500,000 atau kurang daripada jumlah itu.
“Satu berita baik adalah pembeli rumah mampu milik dapat mencari rumah yang menarik untuk dibeli. Ini bermakna, pasaran membekalkan banyak rumah bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Pasaran adalah amat seimbang, dengan bekalan mencukupi bagi menampung semua pembeli pada setiap peringkat harga,” katanya.-UTUSAN










