Wanita mengandung nekad kejar pencuri - Utusan Malaysia

Wanita mengandung nekad kejar pencuri

Wanita mengandung
ORANG ramai membantu menahan suspek yang mencuri beg sandang seorang wanita mengandung dekat sebuah pasar raya di Shah Alam, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang wanita sarat mengandung sembilan bulan nekad mengejar pencuri beg sandangnya yang dilarikan seorang lelaki ketika sedang menggunakan tandas dekat sebuah pasar raya di Seksyen 23, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian tersebut, mangsa berusia 37 tahun dikatakan mengejar suspek kira-kira 50 meter dari tandas sehingga ke pintu masuk pasar raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mangsa ketika itu berkunjung ke pasar raya tersebut untuk membeli barangan persiapan bersalin seorang diri.

“Mangsa sarat mengandung sembilan bulan anak yang ketiga. Semasa mangsa berada di tandas wanita menyedari beg sandangnya yang di sangkut di pintu tandas dilarikan oleh suspek. 

“Dia kemudian bergegas keluar daripada tandas dan bertindak mengejar serta menjerit meminta bantuan orang ramai yang berada di sekitar untuk menangkap suspek,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau menambah, sejurus kejadian, wanita terbabit membuat laporan polis kira-kira pukul 10.57 malam.

Jelas Mohd. Iqbal, suspek kemudian berjaya ditahan bersama beg sandang milik mangsa yang dikenal pasti bekerja sebagai pegawai pemasaran produk penapis air.

“Suspek merupakan seorang lelaki melayu berumur 22 tahun dan mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Suspek direman selama tiga hari bermula 30 April sehingga 2 Mei. 

“Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang boleh membawa hukuman penjara sehingga sepuluh tahun dan boleh juga dikenakan denda jika disabitkan dengan kesalahan,” ujarnya.

Katanya lagi, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Muhammad Fairunizam Puasa di talian 013-6616845.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, wanita hamil tersebut kini berada di Hospital Shah Alam dan dilapor akan bersalin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×