Jho Low antara pemilik Bugatti Veyron dirampas

Jho Low antara pemilik Bugatti Veyron dirampas

BUGATTI VEYRON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati salah sebuah daripada empat kereta mewah Bugatti Veyron yang dirampas di Munich, Jerman disyaki dimiliki Low Taek Jho atau Jho Low menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, baki  kenderaan mewah edisi khas itu  turut dipercayai dimiliki Bekas Pengarah Urusan International Petroleum Investment Company (IPIC), Khadem al-Qubaisi.

Bekas Ketua Eksekutif Aabar, Mohamed Ahmed Badawy al-Husseiny yang didakwa turut menerima sogokan daripada Jho Low juga disyaki menjadi  pemilik salah sebuah lagi kereta tersebut.

Kata sumber itu, bermula dari akhir tahun 2020 sehingga 2022, SPRM telah menghantar pegawai penyiasat ke  Switzerland dan Jerman bagi mendapatkan butiran berhubung isu ini.

“Sememangnya nama tiga individu ini sudah berada dalam radar siasatan SPRM,” katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, rampasan empat buah kereta mewah Bugatti Veyron edisi khas di Munich, Jerman dipercayai antara 50 kereta mewah yang terlibat dalam siasatan 1MDB pada tahun 2021.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan berkaitan isu ini dilakukan sejak tahun 2020.

Kata beliau, permohonan bantuan  Perundangan Bersama (MLA) ke Switzerland untuk mendapat maklumat tentang aset beku berkaitan kes 1MDB telah dilaksanakan pada bulan November 2020.

Ini diikuti dengan mesyuarat dengan Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) berkaitan 50 kereta mewah yang terlibat dalam siasatan 1MDB pada tahun 2021.

Selanjutnya pada Mac 2022, satu mesyuarat dengan OAG telah diadakan di Switzerland untuk membincangkan kemajuan permohonan MLA dan mendapatkan maklumat lanjut.

Azam juga berkata, SPRM telah meminta maklumat daripada pihak berkuasa Jerman mengenai dana bon 1MDB yang digunakan untuk membeli kereta mewah di Jerman pada 26 Oktober 2022.

Dalam perkembangan terbaharu ini, SPRM telah menghantar permohonan untuk maklumat terkini daripada pihak Jerman.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedia berkongsi maklumat dengan SPRM dalam isu empat kereta model Bugatti Veyron yang dirampas polis Jerman dari kemudahan simpanan persendirian di Munich.

Menurut beliau, siasatan telah dilaksanakan oleh SPRM sejak 2020. Oleh itu, PDRM menyerahkan kepada agensi itu untuk mengambil tindakan seterusnya.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ada memaklumkan mengenai siasatan dilakukan mereka, jadi kita serah kepada agensi itu untuk ambil tindakan.

“Untuk apa kita perlu ambil tindakan sama dua kali. Bagi pihak PDRM, apa juga bantuan dikehendaki SPRM, kami (polis) akan sedia membantu,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×