MKT bincang nasib Mohamad Ali minggu depan

MKT bincang nasib Mohamad Ali minggu depan

RAIS Yasin menyampaikan cenderamata kepada Asyraf Wajdi Dusuki selepas merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Tangga Batu di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan membincangkan kedudukan bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang didakwa sudah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MKT akan membincangkan perkara itu minggu depan selepas mendapat aduan secara rasmi daripada UMNO Bahagian Tangga Batu, baru-baru ini.

“Kita sudah terima aduan rasmi dengan bukti-bukti bahawa Mohamad Ali sudah menjadi ahli Bersatu. Apa pun kedudukan beliau kita akan lihat dalam mesyuarat MKT yang akan diadakan minggu depan.

“Jika terbukti dia sudah menjadi ahli Bersatu, kalau mengikut perlembagaan parti Fasal 20 iaitu mana-mana ahli parti yang menjadi ahli berdaftar bagi parti politik lain maka keahliannya gugur setelah disahkan oleh MKT,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Tangga Batu di Stadium Hang Jebat di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Mohamad Ali didakwa sudah menyertai Bersatu.

Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengesahkan perkara itu yang mana Mohamad Ali mendaftar menjadi ahli pada 12 April lalu.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin mengesahkan pihaknya telah membuat aduan rasmi berhubung perkara itu.

“Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu yang telah bermesyuarat baru-baru ini telah sebulat suara membuat keputusan untuk mengemukakan aduan rasmi kepada Ibu Pejabat UMNO,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN