PETALING JAYA: Setelah tidak beroperasi kira-kira dua tahun akibat pandemik Covid-19 sebelum ini, Aiza Food kini mengorak langkah untuk mengembangkan lagi perniagaan biskut dan sejuk beku untuk di pasarkan di kedai dan pasar raya dengan lebih meluas.
Pemiliknya, Aiza Syafinaz Shahak, 38, berkata, dia kini dalam proses untuk menyediakan pembungkusan baharu yang bersesuaian untuk ditawarkan sebagai produk harian yang dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun ini.
Katanya, pihaknya juga kini sedang mengikuti kursus oleh Halal Development Corporation (HDC) dalam usaha untuk mendapatkan pensijilan halal bagi produk keluarnya yang bermula secara kecil-kecilan sejak 2011 lalu.
“Keluarga saya yang berasal di Johor memang menjalankan perniagaan kuih dan kerepek sejak 2002. Apabila saya berkahwin dan berpindah ke Kuala Lumpur, saya mendapat idea untuk menyediakan produk sejuk beku seperti karipap pusar, donut dan roti canai.
“Ini bagi memudahkan ibu-ibu berkerjaya untuk menyediakan makan kepada keluarga mereka,” katanya jepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Aiza Syafinaz yang mempunyai kedai sendiri iaitu Agro Bazaar Perusahan Gemilang Raya di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak berkata, dia kini dalam proses untuk bangun semula setelah terkesan dengan Covid-19 dan turut kehilangan suaminya pada wabak itu pada 2020.
Menurutnya, dia kini mempunyai 50 ejen yang memasarkan produknya dan matlamatnya adalah untuk membantu wanita lain terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan sebelum ini untuk bangkit semula dengan perniagaan makanan tersebut.
“Selain daripada menjual kuih dan produk sejuk beku, saya juga ada mengadakan kelas kulinari seperti membuat roti dan biskut dengan harga bermula daripada serendah RM30.
“Saya berharap dengan kelas ini dapat membantu mereka untuk memulakan perniagaan sendiri yang boleh dijual untuk menjana pendapatan,” ujarnya.
Tambahnya, pelan jangka panjangnya adalah untuk membuat pengeluar produk tulen (OEM) bagi membolehkan pihak luar mengambil produknya untuk dijadikan jenama mereka sendiri terutamanya selepas pihak berjaya mendapatkan pensijilan halal kelak.-UTUSAN










