SPRM sahkan rampasan 4 Bugatti Veyron di Jerman

SPRM sahkan rampasan 4 Bugatti Veyron di Jerman

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mengenai rampasan empat buah kereta mewah Bugatti Veyron edisi khas di Munich, Jerman dipercayai hasil dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, satu kenyataan media berhubung perkara itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini.

“Ya, saya sahkan dan satu kenyataan akan dikeluarkan,” katanya di sini.

Terdahulu, polis Jerman dipercayai merampas empat buah kereta mewah Bugatti Veyron edisi khas di Munich yang dikaitkan sebagai sebahagian daripada siasatan skandal kewangan 1MDB.

Akhbar Jerman Bild melaporkan, empat kereta super yang dikaitkan dengan skandal 1MDB dirampas daripada kemudahan simpanan persendirian.

Kenderaan berkenaan dikatakan sebahagian daripada siri”Legenda” khas Bugatti Veyron, dengan hanya 18 daripada supercar tersebut dibina dalam enam spesifikasi.

Empat kenderaan itu ialah Rembrandt edisi Veyron, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini. Setiap kereta mempunyai harga sekitar AS$3 juta (RM14.3 juta).

Kereta itu jarang dijual, dan biasanya tidak dijual di lelongan awam. Kereta berkenaan dikesan dan dirampas oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah 7, yang pakar dalam jenayah kolar putih,” menurut media Jerman, Bild.

Ia menyatakan, kereta itu diletakkan di tempat letak kereta Motorworld Munich, ketika suatu pertunjukan automotif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×