CIK Bunga sangat percaya, bukan senang kata-kata pujian mampu terluncur laju daripada mulut seorang pelakon senior jika mereka tidak benar-benar memaksudkannya.
Nak dijadikan cerita, Cik Bunga saja berbual dengan seorang pelakon senior yang disegani, Elly Suriaty baru-baru ini. Sebagaimana kita semua tahu, Elly seorang pelakon yang sangat dihormati kerana bakatnya yang luar biasa dalam bidang lakonan. Bawa watak apa sahaja pasti menjadi.
Apatah lagi jika watak berat dan ratu air mata. Memang tak pernah gagal memberikan kesan di jiwa penonton.
Lalu Cik Bunga tanyalah pada Elly, di era sekarang, siapa pelakon muda yang dirasakan mampu jadi pelapis bermutu terutama dalam membawakan watak air mata? Kata Elly, kalau nak cakap pasal pelapis, ramai yang boleh diketengahkan.
Tetapi, ada satu nama yang pantas sahaja disebut oleh Elly. Dia ialah Siti Khadijah.
Menerusi naskhah terbaharu lakonan Siti Khadijah, Wanita Syurga, tanpa was was, Elly meletakkan keyakinan bahawa aktres muda itu mampu menjadi pelapis pelakon yang luar biasa suatu hari nanti.
Kata Elly, pelakon yang bakatnya dicungkil menerusi program Gadis Panca 2017 itu mempunyai ‘sesuatu’ dalam diri yang mampu menjadi luar biasa memandangkan sekarang pun dia sudah menunjukkan progres yang sangat mengagumkan.
Wow, tak sangka juga Cik Bunga dengan jawapan Elly kerana tak ramai pelakon senior nak puji dengan mudah orang baharu dalam industri seni ini.
Maksud Cik Bunga pujian yang tak berbaur ‘propa’ atau dibuat-buat semata-mata nak nampak baik. Sebab Cik Bunga pun boleh ‘baca’ siapa yang suka propa dan yang tidak.
Namun dengan Elly, Cik Bunga dapat meneka, dia ikhlas. Cik Bunga pun turut rasa yang sama.
Bakat Siti Khadijah memang menunjukkan progres yang baik. Menerusi pujian orang lama seperti Elly ini, diharapkan ia mampu menyuntik lebih semangat buat Siti Khadijah untuk tingkatkan kualiti lakonannya.










