KUALA KRAI: Seorang mangsa kemalangan maut melibatkan dua buah trak pikap di Kilometer 78 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Bukit Ah Kim di sini awal pagi semalam meninggalkan isterinya yang masih berpantang selepas melahirkan anak keempat mereka yang berusia kurang 40 hari.
Dalam kejadian itu, Juhazrie Junoh, 37, yang juga pemandu Toyota Hilux sedang perjalanan pulang dari Perak selepas membeli peralatan pertanian bersama tiga lagi sahabatnya.
Kakak mangsa, Juhasni Naini Junoh, 48, berkata, mereka sekeluarga telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 2 pagi semalam oleh anak saudaranya sebelum bergegas ke hospital.
“Kejadian ini amat menyedihkan buat kami memandangkan isteri arwah, Hariatul Laili Omar, 35, masih lagi berpantang.
“Bagaimanapun, dia reda dan turut sama ke sini sebelum dinasihati keluarga supaya pulang ke rumah terlebih dahulu,”katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), di sini semalam.
Juhasni berkata, adiknya itu adalah seorang periang dan tegas selain menjadi tulang belakang keluarga kerana bertanggungjawab menjaga ibu, Asiah Ibrahim, 76.
“Kami reda dengan ketentuan ilahi dan berharap agar isterinya terus kuat menerima ujian ini. Kami sekeluarga masih terkejut, namun perlu terus memberi semangat kepada isteri dan anak-anak arwah yang masih kecil.
“Insya-Allah, selepas siap proses bedah siasat jenazah akan dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pek, Machang,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Afiq Anaqi, 20, berkata, bapanya, Mohd. Anif Mat Jizi 41, merupakan penumpang Toyota Hilux yang maut dalam nahas itu tidak menyangka kehilangan bapa tercinta dalam sekelip mata.
Menurutnya, dia menerima berita kemalangan itu pada pukul 2 pagi semalam selepas dimaklumkan oleh ibu, Siti Fatimah Hassan, 39.
“Saya dan ibu bergegas ke hospital sebelum mengetahui bapa sudah meninggal dunia. Dia juga pengsan beberapa kali selepas dimaklumkan bahawa bapa sudah meninggal dunia. Ibu juga perlu menerima rawatan sebagai pesakit luar kerana terkejut dengan apa yang berlaku.
“Kami reda dengan takdir ini dan berharap agar urusan bedah siasat dapat selesai dengan segera. Saya berjanji akan menjaga ibu dan adik-adik dengan baik memandangkan saya adalah anak sulung,” katanya. – UTUSAN










