MEMILIH kerjaya yang lasak dan perlu memikul beban berat dengan keadaan persekitaran didominasi golongan lelaki sudah tentu bukan pilihan utama bagi wanita.
Keadaan itu bagaimanapun berbeza bagi Azila Azman, 34, atau diberi jolokan ‘akak tong gas’ apabila menyahut cabaran dengan bekerja sebagai penghantar tong gas.
Biarpun dilihat janggal apabila ada wanita memilih pekerjaan berkenaan, namun bagi Azila ia bukanlah masalah besar untuknya kerana telah bersedia baik dari segi mental mahupun fizikal.
Bahkan Azila berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan ‘tugas berat’ itu kerana personalitinya sendiri yang gemar kepada cabaran.
Menceritakan bagaimana dia mula terlibat dalam cabang pekerjaan itu, Azila memberitahu, semuanya bermula selepas dia menamatkan perkhidmatan di sebuah syarikat yang mengusahakan perniagaan gas petroleum cecair (LPG) di Slim River kira-kira enam tahun lalu.
Katanya, dalam tempoh ‘berehat’ sambil memikirkan hala tuju hidup, Azila mula melihat potensi besar dalam perniagaan LPG di mana dia sendiri mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut
“Saya sudah biasa dengan gas memasak baik dari segi pengurusan mahupun kaedah pengendalian tong gas.
“Bagi saya, perniagaan ini mudah kerana pasarannya sangat luas dan ia juga adalah barang keperluan. Jadi, bila-bila masa sahaja orang akan cari.
“Saya sendiri hanya mempersiapkan diri dengan mengambil Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL), menyediakan lori dan stor penyimpanan tong gas,” katanya kepada Utusan Malaysia di Ipoh baru-baru ini.

Menurut Azila, pada permulaan perniagaan pada April 2015 itu, dia bergerak sendirian di mana bukan sahaja memandu lori malah bertindak mengangkat tong gas untuk dihantar ke kedai-kedai dan rumah pelanggan.
Katanya, dia tidak mempunyai masalah untuk mengangkat beban berat kerana mengetahui teknik yang betul untuk mengendalikan tong gas.
Malah katanya, dia pernah memikul 100 hingga 150 tong gas sehari sama ada tong kosong mahupun berisi gas di mana beban yang sering dipikul adalah tong seberat 14 kilogram (kg).
“Sebenarnya untuk mengangkat tong gas memang memerlukan teknik. Bukan sahaja angkat, malah untuk turunkan dan susun juga ada teknik tersendiri.
“Apa yang penting perlu pandai menjaga penafasan. Jika main angkat sahaja memang memberi kesan kepada badan terutama di bahagian pinggang,” katanya.
MAHU UBAH PERSEPSI
Menurut Azila, selain sering menerima pandangan aneh orang awam, dia turut berdepan dengan cakap-cakap orang yang mendakwa kerja itu tidak sesuai untuk wanita.
Bagi mereka, kerja sedemikian lebih sesuai digalas oleh golongan lelaki berbanding wanita yang sepatutnya memilih tugas yang lebih ringan seperti di pejabat berhawa dingin.
Bagaimanapun katanya, setiap kali menghadapi situasi tersebut, dia hanya tersenyum dan mengambil ia sebagai cabaran untuk lebih mengorak langkah ke hadapan.
Malah katanya, dia tidak mengambil pusing dengan pandangan pihak lain kerana apa yang penting penglibatannya dalam bidang itu diterima baik oleh pengusaha gas LPG yang rata-ratanya golongan lelaki.
Katanya, kesemua mereka juga saling menyokong satu sama lain.
“Di bahagian utara sendiri, memang saya seorang sahaja wanita yang menjadi pembekal untuk gas LPG ini, yang lain-lain pula adalah lelaki.
“Mula- mula memang segan apabila dikelilingi lelaki tetapi saya kuatkan semangat, buangkan rasa malu.
“Setiap kali menyertai mesyuarat, mereka sentiasa memberi sokongan dan nasihat. Tidak pernah memandang rendah hanya kerana berlainan status jantina,” katanya.
CABARAN MENGHADAPI COVID-19
Mengakui terkesan dengan penularan pandemik tersebut, anak kedua daripada lima beradik itu berkata, jualan gas menurun kira-kira 30 peratus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, permintaan gas untuk kedai-kedai makan berkurangan sepanjang tempoh itu kerana banyak premis yang tidak beroperasi atau menutup operasi kedai mereka lebih awal.
Bagaimanapun katanya, situasi itu berbeza untuk permintaan gas bagi pelanggan di rumah kerana jumlahnya meningkat berbanding biasa.
“Perbezaan ini menyebabkan kami masih mampu lagi bertahan tambahan lagi gas memasak adalah barang keperluan di setiap rumah.
“Situasi tidak menentu ini perlu dihadapi setiap orang dan diharap keadaan ini segera berakhir di mana semua orang terutama peniaga dapat menjalankan perniagaan seperti biasa,” katanya yang membekalkan gas bagi daerah Mualim dan Batang Padang.

GAS MENEMUKAN JODOH
Azila berkata, dia tidak menyangka pertemuannya dengan suami, Sharul Hafiz Zam, 35, yang juga seorang juru foto akhbar itu akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin.
Katanya, pertemuan pertama mereka pada Ogos tahun lalu adalah atas urusan kerja di mana suaminya itu mahu mengambil gambarnya untuk dimuatkan dalam satu artikel.
“Susulan pertemuan itu, kami menjadi rapat dan akhirnya mendirikan rumah tangga. Siapa sangka tong gas ini rupa-rupanya menemukan kami berdua,” katanya.










