KUALA KRAI: Anak bongsu kepada mangsa kemalangan maut di Kilometer 78 jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Bukit Ah Kim disini tengah malam tadi sempat berusaha membantu mengeluarkan ibu dan ayah yang tersepit.
Tuan Muhammad Adam Asyraf Tuan Arzue,16, berkata, usaha itu menemui kegagalan kerana kudratnya yang ada tidak mampu selain kesan pelanggaran terlalu kuat.
“Waktu itu, saya telah berusaha membantu mengeluarkan ibu dan ayah namun tidak berjaya kerana mereka berada dalam keadaan tersepit.
“Semasa kejadian saya bersama ayah (Tuan Arzue Daud), ibu (Noor Hayati Harun) dan nenek (Salsiah Man) yang menaiki Ford Rangers dalam perjalanan pulang ke rumah di Chiku 3, Gua Musang selepas menziarahi ibu saudara di Rantau Panjang,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, di sini hari ini.
Tuan Muhammad Adam memberitahu,
semasa dalam perjalanan pulang, dia tertidur di bahagian penumpang belakang dan hanya tersedar selepas berlaku kemalangan.
Katanya, sebaik sahaja tersedar dia mendapati ibu telah tersepit di tempat duduk penumpang hadapan manakala ayah yang memandu kenderaan tersebut tidak sedarkan diri.
“Sementara nenek tersepit di tempat duduk belakang. Ibu disahkan meninggal dunia ditempat kejadian manakala neneknya meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.
“Ayah mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut. Saya hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian dagu serta kaki,” ujarnya.
Tuan Muhammad Adam berkata, jenazah ibu dan neneknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paloh, Gua Musang.
Terdahulu, media melaporkan tiga maut manakala lima lagi parah selepas dua buah trak pikap bertembung dalam kemalangan di jalan Kuala Krai-Gua Musang di sini tengah malam tadi.
Bagaimanapun seorang lagi penumpang Ford Rangers meninggal dunia pada pukul 1.50 pagi semasa sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.-UTUSAN










