Piala Thomas: Malaysia benam Hong Kong 5-0

Piala Thomas: Malaysia benam Hong Kong 5-0

Lee Zii Jia lebih selesa meletakkan Malaysia selaku pasukan underdog berdepan Denmark menjelang aksi terakhir Kumpulan D pada Piala Thomas di Chengdu, China, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mencerahkan peluang ke suku akhir selepas membenam Hong Kong 5-0 dalam aksi sulung Kumpulan D pada Piala Thomas & Uber di Chengdu, China, hari ini.

Mata pertama skuad badminton kebangsaan dihadiahkan menerusi perseorangan No. 1 negara, Lee Zii Jia yang menundukkan Lee Cheuk Yiu 21-18, 21-18 dalam masa 45 minit.

Kejayaan Zii Jia itu diteruskan oleh beregu No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tidak berdepan masalah melakar kemenangan straight set 21-16, 21-12 ke atas pasangan Hong Kong, Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi hanya dalam masa 27 minit.

Leong Jun Hao yang turun selaku perseorangan kedua negara menggalas tugasnya dengan cukup baik apabila mengejutkan Angus Ng Ka Long 17-21, 21-12, 21-15 dalam aksi yang berlanjutan selama lebih sejam.

Kemenangan pemain No. 37 dunia tersebut memastikan kejayaan 3-0 menjadi milik mutlak Malaysia dengan beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani turun ke gelanggang sejurus selepas itu tanpa sebarang tekanan.

Naib juara Kejohanan Asia, Sze Fei-Izzuddin memastikan mata keempat menjadi milik skuad negara apabila mereka menewaskan Reginald Lee-Tang Chun Man 21-19, 21-18.

Pemain muda negara, Justin Hoh yang akhirnya kembali beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan turut mempamerkan prestasi cemerlang apabila dia mencipta kejutan ke atas Chan Yin Chak 21-17, 19-21, 21-17.

Kejayaan Justin itu melengkapkan kemenangan 5-0 Malaysia ke atas Hong Kong.

Dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan, Malaysia bakal berdepan Algeria, esok, dan jika skuad negara menang ke atas pasukan dari Afrika itu slot suku akhir berada dalam genggaman mereka.

Malaysia bakal berdepan Denmark dalam perlawanan terakhir Kumpulan D, Selasa ini dan misi wajib menang ke atas jaguh Eropah itu menjadi sasaran skuad kebangsaan bagi mengelak berdepan pencabar yang lebih kuat pada suku akhir nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×