Polis buru suspek simbah cat ke arah premis perniagaan belum beroperasi

Polis buru suspek simbah cat ke arah premis perniagaan belum beroperasi

TANGKAP layar yang diambil daripada satu rakaman video menunjukkan sebuah premis perniagaan yang belum beroperasi disimbah dengan cat merah di Machang Bubok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Polis kini sedang menggiatkan usaha memburu serta mengesan suspek yang dipercayai terlibat dengan perbuatan khianat iaitu menyimbah objek dipercayai cat ke arah sebuah premis yang belum beroperasi di Machang Bubok di sini, kelmarin.

Ia susulan penularan satu rakaman video mengenai kejadian itu awal pagi semalam selepas ia dimuat naik ke dalam akaun X di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, dalam video itu, beberapa individu tidak dikenali dilihat membaling sesuatu disyaki cat berwarna merah sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal.

“Semasa kejadian, premis tersebut difahamkan belum beroperasi dan ia sepatutnya dibuka mulai 27 April (hari ini).

“Semakan lanjut mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.03 pagi pada 25 April (kelmarin) dan polis kini sedang mengesan tiga orang suspek yang dipercayai terlibat dengan perbuatan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Helmi berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Dalam hal ini, polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian ini supaya tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.

“Maklumat berkenaan boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah melalui talian 04-5382222 atau boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” ujar beliau.

Difahamkan, premis tersebut merupakan cawangan perniagaan kepada sebuah restoran nasi kandar yang telah beroperasi di George Town sebelum ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×