KALAU ditanya tempat menarik untuk bersantai bersama rakan sambil menikmati hidangan lazat, kafe The Spot by Chinoz di Bangsar wajib menjadi pilihan.
Ada beberapa faktor mengapa saya katakan ia perlu dimasukkan dalam senarai kafe pilihan. Pertama, sudah tentu keenakan makanan di sini.
Semasa berkunjung ke restoran ini, saya dihidangkan piza kerak nipis yang dinamakan sebagai Diablo untuk dijadikan pembuka selera.
Piza yang diletakkan peperoni, jalapeno dan ikan bilis sebagai topping ini boleh saya katakan menu yang cukup membuatkan pengunjung ketagih sehingga sanggup melupakan seketika diet.
Rasanya begitu rangup pada setiap gigitan lebih-lebih lagi dimakan ketika masih panas. Dengan berharga RM35, ia sesuai dimakan antara dua ke tiga orang.
Selain itu, saya turut dihidangkan laksa lemak dibuat dengan menggunakan rempah buatan sendiri.

Apa yang paling menarik, kuahnya yang diperbuat daripada buah keras, belacan, udang kering santan,daun kesum dan bunga kantan ini cukup berlemak, wangi serta tidak terlalu masin.
Malah, dimakan pula bersama mi halus yang menjadi legasi restoran Chinoz on The Park yang sebelum ini dibuka di KLCC.
Laksa lemak berharga RM23 ini turut dicampur bersama tauhu, ayam dan telur rebus- berbaloi dijadikan hidangan makan malam.
Pada masa sama, saya turut dihidangkan menu klasik Itali, potato gnocchi iaitu dumpling dihasilkan daripada campuran kentang, tepung dan telur.
Gnocchi yang begitu lembut dimakan bersama kuah puri labu ini rasanya penuh berkrim dan amat sesuai sama ada untuk dewasa dan kanak-kanak.
Ia turut dicampurkan bersama bahan lain seperti cendawan butang, cendawan Shimeji dan keju parmesan.
The Spot by Chinoz
Dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam
Terletak di Jalan Ara Bangsar (berhadapan pasar raya TMC Bangsar)
Terdapat lebih 30 menu antaranya salad, piza, sandwich, pasta dan pai ayam.
Bagi mereka yang mahukan hidangan berasaskan ikan pula boleh memesan menu Cod Fish n Chip.
Mungkin bagi mereka yang melihat menu ini agak tipikal dan berpandangan bahawa rasanya sama sebagaimana ditempat lain. Namun percayalah, menu ini lebih rangup dengan disertakan kentang goreng serta kacang peas yang menjadikan ia cukup istimewa bagi penggemarnya.

Dalam pada itu, pemilik restoran Teng Wee Jeh memberitahu, restoran tersebut baru dibuka sejak beberapa bulan lalu umpama jelmaan restoran Chinoz di KLCC yang beroperasi selama 20 tahun.
Malah katanya, banyak peralatan seperti kerusi dan meja lama digunakan semula bagi mengembalikan nilai sentimental.
“Selain itu, kita juga mahu mengekalkan kelestarian sumber alam semula jadi terutama zaman sekarang yang begitu galak dengan perubahan iklim,” katanya. –UTUSAN











