Yusri puji MFL perkenal VAR - Utusan Malaysia

Yusri puji MFL perkenal VAR

YUSRI CHE LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah memuji langkah Malaysian Football League (MFL) memperkenalkan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan bola sepak Liga-M mulai musim ini.

Yusri menyambut baik usaha yang dilakukan oleh MFL itu dalam memastikan sistem VAR yang bakal digunakan berjalan lancar dengan mengadakan sesi ujian pada perlawanan pra musim.

“Saya teruja dengan penggunaan VAR pada musim baharu dan ini akan dapat meningkatkan kualiti permainan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Taklimat VAR Pra Musim 2024 di Stadium Perak, Ipoh hari ini yang dibentangkan oleh Ketua Pegawai Pertandingan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Harris Taufieq Zafri.

Yusri mengingatkan anak buahnya tempoh setiap perlawanan Liga Super pada musim ini ‘akan lebih panjang’ dan pemain perlu segera menyesuaikan diri.

Menurutnya, VAR kebiasaannya akan menyebabkan tambahan masa sehingga 15 minit atau lebih dan ia boleh dilihat dalam banyak perlawanan.

“Biasanya pemain apabila lihat masa permainan 90 minit berlalu, kemungkinan tambahan masa sekitar lima minit atau lebih tetapi VAR ini akan berlainan, pemain kena segera sesuaikan diri.

“Jika kita sedang mendahului, kita perlu berjaga-jaga, bimbang apa sahaja boleh berlaku dan begitu sebaliknya, ada kelebihan dan jika tidak biasakan diri, maka keputusan akhir perlawanan mungkin berbeza,” katanya.

Yusri menambah, selain ‘pertambahan masa’ dari waktu kebiasaan permainan, pemain juga perlu menyerap segera suasana perlawanan jika terhenti pada waktu puncak.

Menurutnya, suasana tidak sama seperti musim lalu dan kemungkinan akan berlaku perlawanan terhenti di kala waktu sedang memuncak dan masa itu mungkin tempo permainan pun berubah.

“Jadi pemain perlu sentiasa bersiap sedia dan kurang melakukan kesilapan-kesilapan khususnya dalam kotak penalti, kita kena terima perubahan ini dan serap segera,” katanya.

Menurutnya, pada taklimat hari ini, MFL memberi ruang kepada pasukan untuk memberi penjelasan berkaitan teknikal dan undang-undang berkaitan VAR dan pemain perlu memahami bila pengadil akan menggunakan VAR, kerana ia baharu bagi pemain.

“Kami teruja kerana esok perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Ipoh kita dapat peluang itu termasuk menentang Penang FC di Stadium Bandaraya 4 Mei ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×