JOHOR BAHRU: Pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup menyorok di siling bagi mengelak dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam satu operasi di Taman Data, di sini.
Bagaimanapun, tindakan itu berjaya dihidu pihak berkuasa yang berjaya menahan seramai 44 individu dalam serbuan Ops Sapu itu.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, bertindak di atas maklumat, pasukan penguat kuasa JIM Negeri Johor telah membuat pemeriksaan terhadap 13 premis di Taman Daya.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan maklumat awam menyatakan terdapat warga asing tinggal di Malaysia tanpa pas/permit yang sah di kawasan tersebut.
“Dalam serbuan di kawasan rumah kedai tersebut, terdapat cubaan melarikan diri dan terdapat individu yang bersembunyi di atas siling bagi mengelak daripada dicekup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baharuddin berkata, daripada seramai 93 warga asing diperiksa, 44 daripadanya ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan termasuk mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Katanya, warga asing yang ditahan juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
“Mereka yang ditahan berumur antara 11 bulan hingga 53 tahun. Mereka terdiri daripada 20 lelaki, 13 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia serta sembilan lelaki dan seorang wanita warga Myanmar,” jelasnya.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Tambah Baharuddin, pihaknya akan mempergiatkan lagi operasi penguatkuasaan bagi membanteras PATI di negeri ini. – UTUSAN










