'Peraturan kadar air ditetapkan Pusat, bukan PBAPP atau kerajaan Pulau Pinang'

‘Peraturan kadar air ditetapkan Pusat, bukan PBAPP atau kerajaan Pulau Pinang’

K. PATHMANATHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bahawa agensi itu mengebil perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang berdasarkan peraturan kadar air yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan berkata, Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air) (Negeri Pulau Pinang) (Pindaan) 2024 ialah peraturan Kerajaan Pusat dan ia bukan peraturan PBAPP atau peraturan kerajaan negeri.

“Sejak 2011, apabila Pulau Pinang berhijrah ke Inisiatif Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (NWSIRI), PBAPP terpaksa mematuhi peraturan Kerajaan Pusat sebagai operator bekalan air berlesen.

“Justeru, sejak 1 Februari lalu, PBAPP secara terbuka mengumum dan menghebahkan kadar air untuk Pulau Pinang dalam siaran media massa (bertarikh 7 Februari lalu yang dilaporkan secara meluas oleh media dalam talian dan cetak), laman Facebook, laman web PBAPP serta iklan akhbar,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, rata-rata pengguna air di negeri ini meluahkan rasa kesal berhubung kenaikan bil air di media sosial khususnya selepas pelaksanaan tarif baharu pada Februari lalu.

Parti Gerakan Pulau Pinang dalam satu sidang akhbarnya hari ini juga mendesak kerajaan negeri dan PBAPP memberi penjelasan lanjut berhubung kadar tarif air baharu yang didakwa membebankan rakyat.

Menurut Ketua Biro Aduan Gerakan negeri, Andrew Ooi, pihaknya menerima lebih daripada 50 aduan mengenai kenaikan bil air itu daripada kalangan penduduk setempat, malah, ada yang mendakwa menerima kenaikan melampau iaitu sehingga 150 peratus.

Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata, kadar air telah disemak bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi, secara serentak di 10 negeri yang lain selain Wilayah Persekutuan.

“Jadi, kadar air bukan sahaja lebih tinggi di Pulau Pinang. Kadar air ini juga lebih tinggi di seluruh Semenanjung Malaysia dan di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, kadar air domestik Pulau Pinang untuk 35 meter padu (m³) pertama sebulan adalah yang kedua terendah di Malaysia.

“Purata kadar domestik Pulau Pinang untuk 35m³ pertama sebulan ialah RM0.86 setiap m³. Data PBAPP menunjukkan bahawa majoriti pengguna domestik Pulau Pinang (77.3 peratus) dibilkan untuk 35m³ atau kurang sebulan pada 2023,” katanya yang memaklumkan, sebagai perbandingan, kadar purata domestik negara ialah RM1 bagi setiap m³.

Jelas Pathmanathan, setiap operator bekalan air berlesen lain di Semenanjung Malaysia mengebilkan kadar purata domestik yang melebihi RM0.86 setiap 35m³ untuk 35m³ pertama sebulan, kecuali Terengganu iaitu sebanyak RM0.69 bagi setiap 35m³.

Sehubungan itu kata beliau, adalah tidak benar dakwaan bahawa pengguna air Pulau Pinang membayar lebih untuk perkhidmatan bekalan air kerana PBAPP mengeluarkan bil air secara dwi-bulanan.

“Bil air dwi-bulanan PBAPP dikira dengan tepat mengikut peraturan Persekutuan, berdasarkan kepada m³ sebulan. Oleh itu, kadar air yang sama dikenakan dalam bil air bulanan dan dwi-bulanan di Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×