PETALING JAYA: Bank Dunia menurunkan unjurannya untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini sebanyak 0.7 peratus daripada 6.7 peratus sebelum ini kepada enam peratus dalam terbitan kajian terbaharunya.
Kajian bertajuk Unjuran Polisi Makroekonomi Malaysia itu meletakkan tiga faktor utama yang mengheret sasaran KDNK Malaysia lebih rendah iaitu kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat, ketidakstabilan politik dan pengedaran vaksin yang lebih perlahan daripada jangkaan di negara-negara maju.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan Malaysia dijangka terus disokong pengukuhan bernasur-ansur permintaan domestik berikutan pengedaran vaksin bermula bulan ini dan peningkatan berhati-hati dalam permintaan luaran.
“Kekuatan dan penentuan masa pemulihan ekonomi, bagaimanapun, akan bergantung banyak kepada kesediaan program vaksinasi besar-besaran yang berkesan dan tepat pada masanya.
“Meskipun begitu, dijangka dalan jangka masa sederhana, output ekonomi tidak akan kembali kepada tahap sebelum pandemik,” katanya.
Menurut Bank Dunia, unjuran pertumbuhan Malaysia adalah tertakluk kepada risiko ke bawah seperti penangguhan seterusnya program vaksinasi yang boleh menyebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan semula dalam negara maju yang melembabkan pertumbuhan global.
Katanya, risiko ke atas pula melibatkan kejayaan mencegah gelombang ketiga jangkitan dan pelaksanaan program vaksinasi yang berkesan.
Perkembangan positif sebegitu dapat mempercepat pemulihan lebih dari jangkaan dalam permintaan domestik dan meningkatkan keyakinan pelabur.
“Jumlah rakyat Malaysia yang berada di bawah garis kemiskinan dijangka berkurang beransur-ansur dan kekal pada tahap sebelum pandemik sehingga 2022.
“Unjuran ini dibuat berdasarkan jangkaan bahawa pemulihan guna tenaga dan pendapatan isi rumah berkemungkinan tidak sekata, dengan pasaran pekerjaan pelancongan dan perkhidmatan lain yang banyak melibatkan sentuhan dijangka paling lambat pulih.
“Unjuran tersebut juga bergantung kepada pemulihan signifikan dalam pasaran pekerjaan dan langkah bantuan kerajaan yang berterusan untuk melindungi golongan miskin dan isi rumah rentan dalam tempoh sebelum pemulihan penuh ekonomi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










