BESUT: Seorang usahawan tani memperoleh pendapatan berganda selepas anak pokok sayur dijual mendapat permintaan yang tinggi pada musim cuaca panas.
Sanida Bakron, 48, berkata, pada musim ini, permintaan anak pokok sayur yang dihasilkan mencecah sehingga RM10,000 sebulan iaitu bertambah sekali ganda berbanding bulan-bulan lain.
Beliau yang berkecimpung hampir 15 tahun dalam bidang semaian anak pokok sayur, kebiasaannya musim cuaca panas anak pokok lebih berkualiti dan bebas daripada serangan penyakit seperti pelombong daun atau kutu daun.
“Cuaca panas menyebabkan anak-anak pokok mendapat cahaya matahari yang cukup dan hanya perlu menjaga kadar siraman pokok setiap hari.
“Jika kebiasaan pokok sayur-sayuran hanya disiram sekali sehari tetapi pada cuaca panas ia perlu disiram sekurang-kurangnya dua kali sehari bagi memastikan anak pokok mendapatkan air yang cukup,” katanya ketika ditemui di Kampung Bakat, Jabi di sini.
Sanida berkata, ketika cuaca panas juga anak pokok sayur-sayuran lebih senang dibiak dan diuruskan termasuk proses pembajaan.
Katanya, kebanyakan petani mengambil kesempatan menanam menyebabkan permintaan anak pokok sayur meningkat mendadak berbanding musim tengkujuh.
“Dalam tempoh seminggu tempahan anak pokok mencecah sehingga 2,000 pokok, ini kerana golongan petani mula menanam kembali termasuk mereka yang menjalankan tanaman fertigasi.
“Antara anak pokok sayur yang mendapat permintaan yang tinggi adalah lada, sawi, terung, kubis, timun dan banyak lagi,” katanya.
Sanida berkata, setakat ini, kira-kira 100 jenis anak pokok ditawarkan pada harga RM1 sehingga RM25 mengikut jenis dan saiz. – UTUSAN










