Hafizul mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan

Hafizul mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan

HAFIZUL Hawari tiba di Mahkamah Sepang dari lokap IPD KLIA. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Hafizul Hawari, 38, suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 14 April lalu didakwa atas dua pertuduhan iaitu cubaan membunuh isterinya dan mencederakan pengawal peribadi mangsa.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Dr Azrol Abdullah di Mahkamah Sesyen Sepang di sini, pagi ini.

“Faham, tidak (mengaku tidak bersalah),” katanya ringkas bagi kedua-dua pertuduhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Azrol kemudian menetapkan 11 Jun depan untuk sebutan semula kes dan pada masa sama menolak permohonan untuk menjamin tertuduh kerana ia membabitkan kes yang serius.

Terdahulu, peguambela tertuduh, Muhammad Naim Mahmud memohon supaya anak guamnya diberi ikat jamin memandangkan kes ini sudah mendapat liputan meluas media.

Peguam belanya juga memberi alasan, anak guamnya masih mempunyai ibu bapa yang sudah tua serta memerlukan rawatan rapi selain mempunyai tujuh orang anak termasuk yang paling kecil berusia tiga tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron memohon supaya tertuduh tidak diberi ikat jamin memandangkan sebelum ini, tertuduh didapati cuba keluar dari negara ini melalui jalan tidak sah di Kelantan.

Mengikut pertuduhan pertama, Hafizul didakwa telah melakukan cubaan bunuh terhadap Farah Md. Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal, 1 KLIA pukul 1.09 pagi pada 14 April lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan jika menyebabkan kematian boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun.

Sementara pertuduhan kedua, Hafizul didakwa  dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol senjata yang boleh menyebabkan kematian pada waktu, tempat dan tarikh sama yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan dengan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan Hafizul diikat jamin dan menetapkan 11 Jun bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron, Mohd. Mukhzany Mohd. Mokhtar dan Norshazwani Abdullah manakala, Hafizul diwakili peguam Muhammad Naim Mahmud.

Berikutan tiada ikat jamin diberikan Hafizul kekal di Penjara Sungai Buloh sehingga sebutan semula kesnya di Mahkamah Sesyen Kota Bahru dan Sepang.

Semalam di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, Hafizul mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, peluru dan mercun mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Ketujuh-tujuh kesalahan itu dilakukan oleh Hafizul di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan Hospital Pakar KPJ Perdana di sini, Kota Bharu pukul 2 petang pada 15 April lalu.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh, Selangor sepanjang prosiding kes selain menetapkan 23 Mei depan untuk lantikan peguam, sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 14 April lalu, suspek yang juga pengurus syarikat agensi pelancongan melepaskan tembakan ke arah isterinya Farah Md Isa di balai ketibaan KLIA 1.

Bagaimanapun, satu tembakan itu tersasar, manakala satu lagi tembakan mengenai pengawal peribadi isterinya yang turut berada di lokasi kejadian.

Suspek kemudian melarikan diri sebelum berjaya ditahan polis di Kota Bharu pada 15 April lalu dipercayai cuba melarikan diri ke luar negara menerusi sempadan Malaysia – Thailand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini