SEGAMAT: Suasana pilu menyelubungi pengebumian Pegawai Memerintah Skuadron 502, Allahyarham Komander Muhamad Amir Mohamad, 44, di Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong, dekat sini tengah malam ini.
Jenazahnya tiba di tanah perkuburan itu pada pukul 12 tengah malam dan upacara pengebumian dilakukan dengan penuh istiadat ketenteraan itu selesai kira-kira setengah jam kemudian.
Terdahulu, jenazah Allahyarham yang tiba pukul 10.45 malam dibawa ke Masjid Masjid Al-Muqorobbin Felcra Bukit Kepong yang terletak kira-kira 500 meter dari kediaman keluarganya untuk disembahyangkan.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang dari Kem Gua Permai, Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Ipoh, Perak kira-kira pukul 6 petang usai menjalani prosedur bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Selain ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung, yang turut hadir Asisten Ketua Staf Sumber Manusia TLDM, Laksamana Muda Baharudin Wan Md. Nor dan Panglima Simpanan TLDM, Laksamana Pertama Azeman Yusoff.
Kira-kira 500 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Muhamad Amir.
Selesai bacaan talkin oleh Pegawai Agama KD Sultan Ismail, Mejar Harith Masood, Baharudin menyerahkan bendera TLDM kepada bapa Allahyarham, Mohamad Borak, 71, disusuli istiadat menyiram air mawar dan tabik hormat penghormatan terakhir.
Muhamad Amir antara 10 pegawai dan anggota TLDM terkorban selepas dua helikopter dinaiki mereka bertembung ketika menjalani raptai sambutan Hari Ulang Tahun dan Perbarisan TLDM Ke-90, di Lumut.
Insiden tersebut melibatkan tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM dengan semua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian. – UTUSAN










