JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berikrar untuk memperjuangkan semua rakyat Indonesia dan menyeru perpaduan dalam kalangan elit politik untuk membawa negara ke hadapan.
Ikrar itu dibuat ketika beliau berusaha untuk mengukuhkan pengaruh parlimennya sebelum memegang jawatan pada Oktober depan.
Bercakap pada majlis di mana beliau disahkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden (Pilpres) pada 14 Februari lalu, Prabowo berkata, beliau bercakap dengan golongan elit di negara ini dan adalah penting bagi parti untuk bekerjasama demi kebaikan bersama.
Prabowo yang secara diam-diam disokong oleh penyandang popular, Joko Widodo (Jokowi), sedang berusaha untuk meluaskan gabungannya di Parlimen baharu dan sedang berbincang dengan parti-parti yang menyokong pesaingnya dalam pilihan raya.
“Saya akan membuktikan bahawa saya akan berjuang untuk semua rakyat Indonesia, termasuk mereka yang tidak mengundi saya.
“Jika Indonesia ingin terus hidup, menjadi negara yang makmur, semua elit mesti bekerjasama. Jika kita berani ketepikan perbezaan kita, kita tinggalkan perasaan kita, kita cari cinta kita kepada negara, kita sama-sama berkorban untuk rakyat kita,” katanya.
Pengesahan jawatan Presiden terhadap Prabowo itu dibuat dua hari selepas Mahkamah Perlembagaan Indonesia menolak cabaran kes daripada kedua-dua calon yang kalah dalam Pilpres 2024.
Dalam ucapannya, Prabowo berikrar untuk menamatkan kemiskinan dan rasuah, sambil menambah beliau berhasrat untuk membawa peningkatan kepada semua rakyat Indonesia.
Beliau juga berkata akhbar bebas adalah penting di Indonesia, menyifatkannya sebagai keperluan mutlak untuk demokrasi.
Perikatan semasa Menteri Pertahanan Prabowo terdiri daripada 48 peratus kerusi di Parlimen tetapi pembantu kanannya berkata bahawa beliau berhasrat untuk mengembangkan gabungannya untuk memperoleh majoriti kerusi.
Sejak pilihan raya, Prabowo bertemu dengan parti di luar gabungannya termasuk ketua NasDem dan PKB yang menyokong kempen Anies Baswedan, salah seorang calon yang kalah dan bekas gabenor Jakarta.
Mendapatkan sokongan mana-mana parti akan mewujudkan gabungan majoriti untuk Prabowo, mencerminkan gabungan pentadbiran Jokowi yang terdiri daripada lapan daripada sembilan parti di Parlimen.
PDIP yang menyokong calon lain yang kalah, Ganjar Pranowo, akan kekal sebagai parti terbesar di Parlimen selepas pilihan raya. -CNA










