SEREMBAN: Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503, Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd. Marzukhi ada menyatakan hasrat untuk membeli sebuah rumah baharu di Perak.
Rakan baik Allahyarham iaitu Leftenan Komander Helman Hashim, 35, berkata, Allahyarham melalui ejen telah memintanya untuk menguruskan penghantaran dokumen bagi tujuan pembelian rumah tersebut ke Kementerian Pertahanan Malaysia pada hari Jumaat lalu.
Bagaimanapun menurutnya, dia hanya sempat menguruskan penghantaran permohonan berkenaan pada pagi semalam iaitu sebelum kejadian 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut di Perak.
“Saya hubungi Allahyarham pagi semalam, namun gagal, saya dapat tahu kejadian ini pun kerana bertugas di pejabat bahagian operasi Markas TLDM,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga Allahyarham di Taman Senawang Perdana di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Helman berkata, Allahyarham Mohammad Amirulfaris dikenali sebagai seorang yang sangat baik serta dihormati oleh rakan sekerja.
“Allahyarham memang baik dan dia juga sangat bijak. Saya sudah mengenalinya sejak tahun 2007 dan pernah tinggal serumah dengannya. Allahyarham memang minat dalam bidang penerbangan lebih-lebih lagi bahagian taktikal,” katanya.
Sementara itu, tinjauan pemberita ke rumah keluarga Allahyarham mendapati saudara-mara serta sahabat handai mula hadir ke rumah itu sekitar selepas solat Asar.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah keluarga di Taman Senawang Perdana terlebih dahulu sebelum disolatkan kali kedua di Masjid At-Taufiqiah di sini seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang di sini malam ini.-UTUSAN.










