Aniq wakil tunggal angkat berat ke Paris

Aniq wakil tunggal angkat berat ke Paris

AKSI Mohamad Aniq Kasdan ketika mengambil bahagian dalam Kejohanan Piala Dunia 2024 di Phuket, Thailand, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menjadi atlet tunggal angkat berat yang akan menggalas cabaran negara di Sukan Olimpik Paris, Julai ini.

Kejayaan Aniq itu bagaimanapun tidak dapat dikongsi bersama seorang lagi wakil negara, Muhamad Aznil Bidin yang menamatkan saingan di tempat ke-10 pada kejohanan dunia di Phuket, Thailand baru-baru ini dan ia juga merupakan medan terakhir mencari kelayakan ke Paris.

Ketua Jurulatih Angkat Berat Malaysia, Edmond Yoe berkata, hanya Aniq yang layak ke Sukan Olimpik selepas berada di kedudukan kelapan keseluruhan selepas berakhirnya Kejohanan Piala Dunia IWF di Phuket, Thailand.

“Setakat ini kita menumpukan sepenuh perhatian terhadap Aniq dalam persiapannya ke Sukan Olimpik dan pelbagai program latihan sudah kita sediakan untuknya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menyentuh soal pemakanan, Edmond berkata, segala pengambilan ubat atau makanan tambahan dikawal ketat di bawah seliaan Institut Sukan Negara (ISN) bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku pada Aniq ketika sukan tersebut berlangsung.

“Kita juga hanya mengambil makanan tambahan yang dibenarkan oleh ISN sahaja dan kami sentiasa mengingatkan atlet tentang pengambilan makanan tambahan yang dibenarkan sahaja,” jelasnya.

Aniq sekali lagi akan menggalas harapan negara apabila bakal bersaing dalam Kategori 55 kilogram (kg) di Paris pada Julai ini.

Aniq sebelum ini merupakan pemenang pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Aniq berjaya membuat angkatan keseluruhan 249kg untuk snatch dan clean & jerk sekali gus membolehkan dia memenangi pingat emas pertama buat kontinjen negara dan mencatat rekod baharu temasya bagi kategori 55kg.

Kali terakhir Malaysia menghantar wakil angkat berat ke Sukan Olimpik menerusi Mohd. Hafifi Mansor pada edisi Rio 2016 dalam acara 69kg. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×