IPOH: Lapan jenazah mangsa yang beragama Islam dalam tragedi helikopter terhempas di Lumut semalam, selesai disolatkan di Surau Salahuddin Al Ayubi Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Tambun di sini.
Kesemua jenazah yang dibawa menaiki van tiba di kem tersebut pada pukul 4.50 petang.
Sebelum itu, proses bedah siasat semua jenazah selesai pada pukul 2.20 petang sebelum dibawa keluar satu persatu pada pukul 4.30 petang dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Lapan jenazah itu ialah Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Pegawai Waran II, Muhammad Faisol Tamadun, Pegawai Waran II Noorfarahimi Mohd. Saedy dan Bintara Muda Noor Rahiza Anuar.
Dua lagi ialah Komander Muhamad Amir Mohamad dan Pegawai Waran II Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi.
Selepas solat jenazah, kesemua jenazah dibawa ke destinasi seperti yang dimohon oleh keluarga masing-masing.
Semua lapan jenazah itu selesai disolatkan dan dibawa keluar menaiki van dari kem tersebut pada pukul 6 petang dan menuju ke lokasi masing-masing
Sementara itu, mayat mendiang Leftenan T. Sivasutan akan dibawa ke Sitiawan manakala mayat mendiang Laskar Kelas I Joanna Felicia anak Rohna akan diterbangkan ke Kuching, Sarawak. – UTUSAN










