Mia Sara Shauki idam watak lebih feminin - Utusan Malaysia

Mia Sara Shauki idam watak lebih feminin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mia Sara Shauki, pelakon baru yang sedang mencipta nama sebagai anak seni.

Meskipun berada dalam industri seni sejak tahun 2004, anak sulung kepada Datuk Afdlin Shauki ini mengakui masih bertatih untuk membawa identiti atas usaha sendiri.

“Saya sebelum ini pernah berlakon dalam drama yang lain, tetapi belum pernah menjayakan filem.

“Saya sangat bangga dan gembira kerana Geng Kubur menjadi filem pertama lakonan saya yang ditayangkan di pawagam seluruh negara,” katanya.
Membawa watak perempuan lasak bernama Melati dalam filem berkenaan, Mia memaklumkan sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk membawa watak yang lebih mencabar.

“Saya sukakan cabaran. Tak kisah apa pun tawaran (berlakon) yang datang, sama ada genre seram, drama, atau romantik, saya terima dengan senang hati.

“Kalau ditanya sekarang, saya nak bawa watak berlainan dari yang biasa saya bawakan sebab sudah banyak kali berlakon cerita seram.

Disoal tentang watak impian, wanita yang berusia 25 tahun itu memilih peranan perempuan yang bersifat feminin dan kewanitaan.

“Watak feminin adalah cabaran buat saya kerana sebelum ini saya banyak memainkan peranan perempuan lasak, memberontak dan berambut pendek.

“Teringin juga mahu memegang watak heroin yang lebih feminin,” katanya lagi.

Belajar dari masa lalu

Mengulas tentang kejadian gangguan seksual yang pernah dihadapi empat tahun lepas, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata emosinya sudah pulih sepenuhnya selepas mendapatkan rawatan.

“Gangguan seksual ini boleh berlaku di mana-mana tak kira pelakon atau orang awam, golongan wanita dan lelaki pun menjadi mangsa.

“Kalau bukan di tempat kerja, ia berlaku di tempat awam seperti universiti, pengangkutan awam termasuk bas dan tren. Sangat jelas kes sebegini tidak berlaku kepada golongan wanita sahaja, tetapi sesiapa pun berpotensi berhadapan dengannya.

“Cuma bila kita semakin dewasa, kita lebih tahu cara untuk melindungi diri sendiri. Kita juga akan belajar cara bawa diri. Pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk lebih kuat jika berhadapan dengan situasi begini,” ulasnya.

Bersikap terbuka

Berkongsi tentang sambutan Hari Raya Aildilfitri, Mia kekal meraikannya seperti tahun-tahun lalu walaupun kedua ibu bapanya sudah bercerai.

Keputusan yang diambil oleh bapanya, Afdlin, untuk berkahwin lagi pada Ogos tahun lalu disambut baik kerana kebahagian ibu bapa adalah keutamaan buat diri Mia.

“Raya tahun ini sangat seronok. Tiada apa yang nak dirisaukan sebab kami satu rumah selesa untuk raya bersama. Sebelum ini saya memang sudah rapat dengannya (ibu tiri).

“Saya terima apa sahaja keputusan yang ibu bapa saya buat untuk mereka gembira. Saya ini siapa untuk cuba halang mereka walaupun saya anak.

“Kalau ayah saya bahagia bersama kawan saya, saya tak nak halang mereka. Saya yakin mereka juga mengharapkan kebahagiaan saya, jadi saya pun mengharapkan kebahagiaan buat mereka,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×