YAN: “Arwah adik sungguh ceria dan teruja ketika Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, malah dia juga terlalu asyik merakam video semua aktiviti keluarga kami pada hari raya pertama.
Demikian kata Abdul Latif Anuar, 46, abang sulung kepada Allahyarhamah Bintara Muda TNL Noor Rahiza yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut pagi tadi.
Menurutnya, arwah juga secara sukarela memasak kuetiau kari kegemaran mereka sekeluarga pada hari raya itu meskipun dia tidak pernah berbuat demikian walaupun diminta sebelum ini.
“Arwah juga sanggup berhabis duit untuk tempah langsir baharu yang sebelum ini berwarna ungu kepada warna putih dan emas untuk menceriakan suasana rumah kami,” katanya ketika ditemui di rumah ibu bapa mereka di Taman Perumahan Awam ll, Jalan Pantai Murni, di sini, hari ini.
Katanya, dua hari sebelum kejadian dia secara tidak sengaja terdail nombor telefon Noor Rahiza, namun sempat mematikan talian sebelum arwah menjawab panggilan tersebut.
“Apabila dia tengok ada panggilan tidak dijawab, dia telefon saya semula dan dia sempat bergurau mengenai wasiat harta sebelum panggilan kami ditamatkan. Itulah kali terakhir saya dengar suara arwah, dan saya dengar suara dia sangat ceria ketika itu,” ujarnya.
Abdul Latif berkata, arwah adiknya merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan adik iparnya, Azinol Azizan, 40, turut berkhidmat dalam bidang sama selain mempunyai empat orang cahaya mata berusia enam hingga 16 tahun.
Tambahnya, mereka sekeluarga terutamanya bapa, Anuar Hassan, 73, yang menghidap penyakit parkison masih terkejut dengan berita pemergiaan Noor Rahiza.
“Kejadian ini berlaku sekelip mata, kami semua masih terkejut dan tidak sangka akan kehilangannya secepat ini. Jenazahnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Ruat, di sini, sebaik selesai proses bedah siasat,” katanya.
Terdahulu, akhbar melaporkan seramai 10 kru termasuk pegawai memerintah kedua-dua helikopter terkorban setelah pesawat itu bertembung semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90.
TLDM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter FENNEC TLDM telah terhempas semasa raptai perbarisan pada 9.32 pagi tadi. -UTUSAN










