PETALING JAYA: Taktik sindiket penyeludupan rokok dan arak yang mengikrar barangan dibawa sebagai tuala dan lampu halaman terbongkar menerusi dua pemeriksaan berasingan di Pelabuhan Klang pada 21 Mac dan 2 April lalu.
Kedua-dua pemeriksaan melibatkan kontena yang membawa minuman keras dan rokok seludup dianggarkan bernilai RM885,000 dan jumlah cukai serta duti sebanyak RM708,250 dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, serbuan pada 2 April pukul 4.40 petang itu melibatkan pemeriksaan sebuah kontena disyaki tidak berkastam.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 864,000 batang rokok putih cuba diseludup dari negara luar.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM864,000 dan melibatkan jumlah cukai serta duti yang dianggarkan sebanyak RM656,640.
“Rokok putih tersebut diletakkan di dalam bekas lampu laman bagi mengaburi pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat JKDM, Kelana Jaya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Norlela berkata, hasil pemeriksaan ke atas kontena bersama wakil perkapalan menemukan rokok putih disyaki tidak berkastam yang mana pengimportannya memerlukan lesen import dan setem cukai.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat dalam Bill of Lading, dagangan tersebut diikrarkan sebagai lampu laman dari negara jiran.
Bagaimanapun, katanya, wakil perkapalan gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan tersebut.
Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya turut berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk minuman keras di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 9.15 malam, 21 Mac lalu.
Menurutnya, pemeriksaan rapi sebuah kontena menemukan 4,030 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM21,000.
Jelas beliau, jumlah cukai dan duti yang terlibat dengan rampasan itu dianggarkan berjumlah RM51,610.
“Modus operandi yang digunakan adalah membuat pengikraran tidak benar iaitu menyatakan barangan sebagai tuala.
“Namun, tuala dan beberapa barangan lain diletakkan di hadapan kontena, sebaliknya minuman keras tanpa cukai disorokkan di bahagian belakang kontena,,” katanya. – UTUSAN










